Azizul Abu Hanifah antara bekas pemain Perak hadir majlis pengebumian Ishsam Shahruddin


  • Massa
  • Ahad, 23 Feb 2025

Jenazah Ishsam selesai dikebumikan pada 11 pagi dengan kehadiran lebih 300 orang dalam kalangan ahli keluarga, rakan politik dan kenalan bagi memberi penghormatan terakhir.— Facebook Ishsam Shahruddin

BEKAS pemain Perak termasuk Azizol Abu Hanifah, Ahmad Shahrul Azhar dan Syamsul Saad antara yang hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Ishsam Shahruddin yang selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Rapat Setia dekat Ipoh, Perak pada Ahad.

Ishsam yang juga legenda skuad Seladang, meninggal dunia ketika menyertai Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru di Stadium Bandaraya, George Town, Pulau Pinang pada Sabtu disebabkan serangan jantung.

Memetik laporan, Sinar Harian, jenazah wakil rakyat berusia 59 tahun itu selesai dikebumikan pada pukul 11 pagi dengan kehadiran lebih 300 orang dalam kalangan ahli keluarga, rakan politik dan kenalan bagi memberi penghormatan terakhir.

BACA LAGI: [VIDEO] Polis sahkan ADUN Ayer Kuning meninggal dunia akibat serangan jantung, jenazah dikebumikan di Ipoh

BACA LAGI: [VIDEO] ADUN Ayer Kuning meninggal main bola ketika aksi 4 penjuru Piala Ketua Menteri Pulau Pinang di Stadium Bandaraya

Antara rakan politik yang hadir pada pengebumian Ishsam ialah Ketua Penerangan UMNO Perak, Datuk Hang Tuah Din, Pengerusi Parti Bersatu Negeri Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, ADUN Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya; ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.

Terdahulu jenazah dibawa ke Masjid An-Nur Desa Seri Ampang, Ipoh untuk dimandi dan disolatkan.

Ishsam (gambar kecil) meninggal dunia ketika menyertai Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru di Stadium Bandaraya, pada Sabtu.

Ishsam (gambar kecil) meninggal dunia ketika menyertai Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru di Stadium Bandaraya, pada Sabtu.

Kira-kira 1,000 jemaah menyertai solat jenazah yang diimamkan Ustaz Azmuley Abdul Aziz.

Terdahulu, Majoriti melaporkan Allahyarham rebah tidak sedarkan diri selepas perlawanan Empat Penjuru Piala Ketua Menteri Pulau Pinang.

Allahyarham sempat diberikan rawatan awal di lokasi kejadian berdasarkan gambar tular yang dikongsikan di media sosial.

Bagaimanapun, Allahyarham dilaporkan menghembus nafas akhir ketika dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang bagi mendapatkan rawatan.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Rozlita Abdullah dan empat orang anak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram