
POLIS sedang menyiasat dakwaan yang mengatakan remaja lelaki yang ditahan berhubung kes cubaan mencabul seorang kanak-kanak perempuan di masjid di Masjid Jamek Sungai Masin dekat Batang Kali, Selangor pada awal pagi Jumaat, memiliki kad orang kurang upaya (OKU).
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek baru sahaja ditahan dan pihaknya masih menyiasat kesahihan dakwaan terbabit.
"Kita belum dapat maklumat dan masih menyiasat dakwaan orang ramai yang mengatakan suspek memiliki kad OKU," katanya pada Jumaat.
Susulan itu, Mahkamah Majistret Kuala Kubu Baru sudah mengeluarkan perintah reman terhadap suspek selama tujuh hari bermula Sabtu.
"Suspek kini direman tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
"Kita juga sedang menunggu laporan rasmi daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mengesahkan status kecacatan suspek," katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim dilaporkan berkata, pihaknya menahan seorang belia berumur 19 tahun bagi membantu siasatan selepas menerima laporan berhubung kejadian pada 8.19 pagi.
Dalam pada itu, Hussein ketika mengulas kes yang turut tular di media sosial itu berkata, ketika kejadian, mangsa sedang menunaikan solat bersendirian di saf belakang ruang solat wanita di masjid berkenaan.
Beliau berkata, ibu mangsa yang juga pengadu dalam kes itu memaklumkan telah membawa dua anaknya ke masjid untuk menunaikan solat subuh, tetapi hanya mangsa yang bersembahyang di bahagian belakang.
"Susulan laporan yang dibuat wanita itu, polis bertindak menahan suspek pada tengah hari tadi (Jumaat) di Batang Kali dengan bantuan orang ramai," katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan suspek akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Baharu pada Sabtu untuk mendapatkan perintah tahanan reman.
Sebelum ini, tular di laman media sosial memaparkan seorang suspek cuba membuat perkara tidak senonoh terhadap seorang budak perempuan dalam kejadian di sebuah masjid di Batang Kali, kira-kira pukul 6.40 pagi Jumaat.
Difahamkan, kejadian itu berlaku ketika beberapa penduduk setempat sedang menunaikan solat subuh di masjid berkenaan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram