Jurujual wanita maut digilis kereta lepas motor jatuh gara-gara terlanggar memerang di Sungai Petani


  • 112
  • Jumaat, 21 Feb 2025

SEORANG wanita maut dirempuh kereta selepas terjatuh daripada motosikal ditunggangnya yang sebelum itu terbabas gara-gara melanggar seekor memerang di Sungai Petani, Kedah tengah malam Khamis.

Mangsa, Siti Nadhirah Anuar, 22, maut di tempat kejadian ekoran daripada kecederaan parah di beberapa anggota badan. 

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail, kejadian itu berlaku di Jalan Lencongan Barat berhampiran Murthada Dakwah Care (MADAD) dekat Sungai Petani kira-kira pukul 12.15 malam. 

BACA LAGI : [VIDEO] Remaja 19 tahun disyaki cabul budak perempuan ketika solat subuh di masjid Batang Kali ditahan polis

BACA LAGI : Dakwaan budak autisme dipukul hingga lebam di taska diputuskan NFA kerana tiada keterangan kukuh — Polis Shah Alam

"Ketika kejadian mangsa yang bekerja sebagai jurujual dan menetap di Kampung Bakar Bata, dekat Pinang Tunggal dalam perjalanan dari arah Sungai Jagung menghala Taman Nilam.

"Siasatan mendapati motosikal Yamaha Ego Avantis ditunggang mangsa terlanggar binatang dipercayai memerang yang sedang melintas dari kanan ke kiri jalan.

"Susulan itu, penunggang motosikal terjatuh dan ketika itu sebuah kereta jenis Proton Wira dari arah belakang gagal mengelak sebelum terlanggar mangsa yang terbaring di tengah jalan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat. 

Tambah beliau lagi, mangsa cedera teruk pada kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. 

Mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, Instagram dan Telegram