[VIDEO] Penganjur kejohanan bola sepak amatur di Ipoh lesap, 40 kelab termasuk dari Indonesia terjejas


  • Podium
  • Sabtu, 22 Feb 2025

Tangkap layar menunjukkan penganjur dipercayai melarikan diri tanpa sebarang penjelasan.

KEJOHANAN bola sepak amatur yang berlangsung baru-baru ini tular di media sosial selepas penganjur dipercayai melarikan diri tanpa sebarang penjelasan.

Perkara itu dikongsikan oleh Kelab Bola Sepak Garage di laman Facebook yang memaklumkan bahawa penganjur tidak kelihatan sepanjang acara tersebut.

Menurut perkongsian itu, sebanyak 40 pasukan dari seluruh Malaysia, termasuk dari Indonesia, hadir untuk menyertai kejohanan yang dipercayai berlangsung di Ipoh, Perak.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Masih belum move on', Arif Aiman gula-gulakan kiper antara 3 momen terbaik disajikan JDT di SSI

BACA LAGI: [VIDEO] 'Bertuahnya pemain JDT', MB Johor kongsi bagaimana TMJ 'paksa' skuad Harimau Selatan lawat famili sukar di Pontian

Difahamkan, Kuala Lumpur, Kedah dan Johor antara negeri yang turut mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut.

Selain itu, kejadian itu juga turut menjejaskan 10 peniaga yang hadir untuk menjalankan perniagaan sepanjang kejohanan.

Semua pihak yang terlibat berasa kecewa kerana mereka telah membuat persiapan rapi dan dipercayai sudah membayar yuran pendaftaran sebanyak RM400 bagi setiap pasukan.

Penganjur kejohanan difahamkan masih mendiamkan diri dan tidak memberikan sebarang maklum balas kepada peserta atau peniaga. 

Kejadian itu mencetuskan kemarahan dalam kalangan penyokong dan peserta yang merasa tertipu dan kecewa dengan tindakan tidak bertanggungjawab penganjur.

Laporan polis sudah dibuat oleh salah satu pasukan yang terjejas.

"Pasukan dari Indonesia itu yang kesian, ada juga sempat tolong mereka cari tempat dan masing-masing penat bawa beg," kata Mohamad Hafizan.

"Kesiannya, datang jauh-jauh last-last kena scam, cepat-cepatlah tangkap penganjur itu," kata Awish Aish Haikal.

"Naya orang bangun awal pagi semangat nak main, tak tahu dosa pahala langsung, tidak apa coach, banyakkan bersabar dan jadikan semua ini sebagai pengajaran untuk lebih berhati-hati selepas ini," kata Nadia Rosli.

"RM400 untuk pendaftaran, banyak betul dia rembat kalau 40 pasukan," kata Ahmad Syukri.

Setakat ini, tidak dapat dipastikan penganjur kejohanan amatur tersebut, namun difahamkan satu laporan polis sudah dibuat berkaitan perkara itu berdasarkan perkongsian di media sosial. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, Instagram dan Telegram