SEHINGGA ke penghujung hayatnya, Allahyarham Tun Daim Zainuddin tetap percaya bahawa perpaduan dan kepelbagaian merupakan kunci kepada kehebatan Malaysia, demikian menurut keluarganya.
Dalam satu kenyataan pada Isnin, keluarganya berkata, Allahyarham turut menyimpan keyakinan tinggi terhadap keupayaan golongan anak muda di Malaysia untuk membawa kemajuan terhadap negara.
"Beliau sentiasa berpesan bahawa kekuatan negara ini terletak kepada kepelbagaian, perpaduan, usaha gigih dan keyakinan yang utuh bahawa kita boleh bersama-sama mencapai kegemilangan.
"Sehingga ke akhir hayatnya, beliau kekal yakin kepada potensi negara ini, untuk menjadikan Malaysia lebih adil, makmur, inklusif dan bersatu," ujar kenyataan itu.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Kenyataan terbabit turut menyentuh mengenai kepercayaan Daim terhadap potensi dimiliki anak muda Malaysia.
"Kepada anak muda Malaysia, Allahyarham meletakkan kepercayaan kepada anda kerana baginya, anda adalah masa depan dan harapan negara. Malaysia adalah milik anda sekarang," ujar kenyataan itu.
Sambil mengakui cabaran dihadapi golongan muda, Allahyarham percaya golongan itu akan mengatasinya di sebalik pandangan sinis dilemparkan di samping kemungkinan cabaran pahit perlu dihadapi.
"Beliau berpesan walaupun jalan menuju Malaysia yang lebih baik sememangnya penuh ranjau, tetapi percayalah, ia berbaloi untuk diharungi," katanya.
Daim (kanan) menjadi Menteri Kewangan sebanyak dua kali semasa tempoh pertama Tun Dr Mahathir Mohamad (kiri) bertugas sebagai Perdana Menteri.
Dalam pada itu, kenyataan tersebut turut berharap agar orang ramai akan terus mengingati usaha Daim bagi memupuk perpaduan dan masa depan lebih gemilang untuk semua.
Menyifatkan Daim sebagai seorang anak Kedah yang berbangga dengan asal usulnya, mereka berkata, Allahyarham memberikan hidupnya untuk berkhidmat kepada agama dan negara sehingga ke penghujung nafasnya.
"Allahyarham mengabdikan hidupnya ke arah matlamat memajukan, membangunkan dan memperkasakan ekonomi Malaysia. Baginya, kehebatan yang hakiki bukan terletak pada kuasa, tetapi pada usaha gigih yang tidak mengharapkan balasan.
"Allahyarham adalah guru kami, pelindung kami, sumber kekuatan kami dan pembimbing akhlak kami.
"Di sebalik kehebatan akal dan ketinggian wawasan, beliau berjiwa lembut dan menjadi teladan kepada kami melalui pertuturannya dan tingkah lakunya, sifat rendah dirinya dan integritinya, sifat murah hati dan rahmah, serta kekuatannya dalam kesabaran.
"Jasanya kepada orang jarang-jarang disebutnya, kerana beliau yakin nilai sebenar kehidupan ini bukan terletak kepada apa yang dimiliki, tetapi kepada apa yang disumbangkan.
"Biarpun Allahyarham tidak lagi berada di samping kita, harapan kami ialah usaha beliau walau sekecil mana pun telah membantu mencapai masa depan yang lebih cerah untuk semua rakyat Malaysia," jelas kenyataan itu lagi.
Daim memulakan perkhidmatannya sebagai ahli Parlimen selama lima penggal antara 1982 dan 2004, dengan beliau pertama kali dipilih sebagai Ahli Parlimen Kuala Muda pada 1982.
Keluarga Allahyarham turut melahirkan rasa terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana memberi penghormatan terakhir kepada beliau.
Dalam pada itu, kenyataan tersebut turut menyebut bahawa Allahyarham tidak menyimpan dendam terhadap pihak yang menolak usaha dilakukannya ketika menjadi pemimpin.
"...beliau memaafkan tanpa kata-kata, dan sanggup memikul beban konflik dengan perasaan tenang dan kasih sayang yang selama ini mencorakkan wataknya, sambil menyerahkan segala-galanya kepada sejarah untuk menghakiminya," katanya.
Berasal dari Alor Star, Kedah, Daim memulakan perkhidmatannya sebagai ahli Parlimen selama lima penggal antara 1982 dan 2004, dengan beliau pertama kali dipilih sebagai Ahli Parlimen Kuala Muda pada 1982.
Beliau kemudiannya berkhidmat sebagai Menteri Kewangan dari 1984 hingga 1991 dan kemudian dari 1998 hingga 2001.
Allahyarham terkenal sebagai individu bertanggungjawab menggerakkan sektor swasta, memulihkan perusahaan awam, dan mempromosikan dasar luar yang aktif.
Usaha beliau semasa penggal pertama memberikan sumbangan cukup ketara kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia yang besar, sekali gus merekodkan pertumbuhan menakjubkan di rantau Asia Tenggara.
Pada tahun lalu, Daim disiasat susulan kaitannya dengan pendedahan Kertas Pandora, yang melibatkan akaun luar pesisir pemimpin di peringkat global.
Beliau didakwa pada Januari tahun ini kerana gagal mengisytiharkan hartanya, dengan status penarikan kes itu masih tidak diketahui susulan kematiannya pada 13 November lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram