Lepasan UIAM buka kedai perkakas, pembekal sistem air 'nombor 1' di Kelantan, pendapatan tahunan cecah 7 angka


  • Bizz
  • Jumaat, 14 Feb 2025

Muhammad Rathi (tiga dari kiri) mengambil alih perniagaan Zakaria Sulaiman Hardware daripada bapanya pada 2008.

FOKUS selesai isu pengguna. Itulah falsafah yang dipegang oleh Muhammad Rathi Zakaria, pemilik kepada Zakaria Sulaiman Hadrware Sdn. Bhd., (Zakaria Sulaiman Hardware).

Sudah beroperasi sejak 1986, Zakaria Sulaiman Hardware merupakan syarikat menjual alat perkakas berpangkalan di Kota Bharu, Kelantan.

Bagaimanapun, selepas menghampiri empat dekad beroperasi ia kini mengembangkan perkhidmatan termasuk menjadi pakar dalam penyediaan pam air dan sIstem teknologi.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

Selain itu, Zakaria Sulaiman Hardware juga sudah mempunyai empat cawangan kedai alat perkakas dengan tiga di Kota Bharu dan satu di Shah Alam, Selangor.

Menurut Muhammad Rathi, 50, pada awalnya, perniagaan syarikat beliau tertumpu kepada operasi jualan alat perkakas di kedai.

Bagaimanapun, dengan peningkatan persaingan, beliau yang mengambil alih perniagaan tersebut daripada bapanya pada 2008 membuat keputusan mempelbagaikan perkhidmatan ditawarkan dengan fokus terhadap pembekalan pam air sejak 2017.

WhatsApp Image 2024-10-09 at 11.37.44

Zakaria Sulaiman Hardware mula beroperasi di Kota Bharu Kelantan pada 1986.

Beliau yang juga pemegang ijazah sarjana muda ekonomi daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, tindakan untuk mempelbagaikan operasinya itu turut melihat kepada keperluan pengguna di kawasannya beroperasi.

"Salah satu kita fokus adalah menyelesaikan masalah pengguna lah. Macam bila kita mula naik di Kelantan, ini sebab kita alamai masalah air yang teruk.

"Sebelum ini, pam air itu orang main beli sahaja tanpa panduan yang betul. Ramai apabila sudah beli baru tahu rupanya benda itu tak sesuai.

"Jadi kita kaji dan kenal pasti apa masalah mereka dan bagi panduan kepada pengguna pam air apa yang sesuai," katanya kepada Majoriti.

Langkah untuk menumpukan terhadap perkhidmatan jualan pam air itu ternyata membuahkan hasil apabila ia berjaya meningkatkan pendapatan syarikatnya dan menjadi pembekal pam air nombor satu di Kelantan.

Malah dengan kejayaan tersebut, Zakaria Sulaiman Hardware turut buat pertama kalinya dapat membuka cawangan kedai baharu di tiga rangkaiannya yang beroperasi sejak 2020.

Pada masa sama, Zakaria Sulaiman Hardware turut mempunyai platform e-dagang, dikenali sebagai Tukang Mart yang menjual alat perkakas termasuk sistem pam pam air

Muhammad Rathi berkata, pada waktu ini syarikatnya menjual sekitar 1,000 pam air setiap bulan dan turut dilantik sebagai pengedar rasmi jenama pengeluar daripada China, Shimge Pump.

WhatsApp Image 2024-10-09 at 11.45.11

Zakaria Sulaiman Hardware kini menjadi pakar runding dan pembekal sistem pam air di dalam negara.

Menyentuh mengenai perjalanan awal Zakaria Sulaiman Hardware, beliau berkata, perniagaan itu dimulakan oleh bapanya yang juga seorang bekas guru.

"Bapa saya merupakan seorang guru di sekolah yang mengajar subjek ekonomi. Pada masa sama dia minat meniaga.

"Pada 1984, dia mula meniaga alatan perkakas secara kecil-kecilan. Kemudian selepas dua tahun, ambil keputusan berhenti dan fokus sepenuhnya berniaga pada 1986," katanya.

Dengan pendedahan terhadap perniagaan tersebut sejak kecil, Muhammad Fathi yang juga anak sulung daripada lapan orang beradik tidak berfikir panjang untuk menyambung perniagaan tersebut daripada bapanya sebaik menamatkan pengajian.

Sedia teknologi pertanian hijau mampu milik

WhatsApp Image 2024-10-09 at 11.42.11

Muhammad Rathi (kanan) memberikan penerangan kepada pengunjung di reruai syarikatnya pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia 2024.

Sementara itu, Muhammad Rathi yang juga bapa kepada lima orang cahaya mata berkata, sejak tahun lalu, Zakaria Sulaiman Hardware turut mula beralih menawarkan perkhidmatan teknologi hijau.

Ujarnya, ia dilaksanakan melalui penyediaan sistem pam air dikuasakan oleh tenaga panel solar kepada petani pada harga mampu milik.

"Kita juga antara pihak yang buat teknologi solar paling ringkas untuk pertanian dan paling murah. Sebelum ini bila sebut sistem pam menggunakan tenaga solar, kos dia memang mahal.

"Satu set tu sampai puluh puluh ribu. Jadi, sekarang kita cuba bawa pada harga yang petani kampung pun boleh pakai bermula pada RM2,000 dua ribu sampai ke RM40,000," katanya.

Zakaria Sulaiman Hardware juga kini dilantik sebagai pengedar tunggal sistem pam air solar syarikat, Coolsmart.

Ujarnya, penggunaan teknologi sistem pam air solar itu cukup sesuai untuk kegunaan petani yang mengusahakan antaranya sawah padi dan kebun durian dan berdepan masalah kekurangan bekalan air dan tenaga elektrik.

Menurut beliau, sejak diperkenalkan tahun lalu, sebanyak kira-kira 300 set sistem pam air solar disediakan syarikatnya di kawasan pertanian dengan kebanyakannya berada di Pahang dan Kedah.

"Sebelum ini orang agak skeptikal. Apabila sebut teknologi hijau sahaja orang ingat mesti mahal sampai cecah puluh ribu ringgit.

"Jadi dengan sistem pam air panel solar yang kita sediakan ini, ia lebih praktikal dan kos efektif untuk petani," katanya.

Muhammad Rathi berkata, Zakaria Sulaiman Hardware menerusi perkhidmatan disediakan kini memperoleh purata pendapatan bulanan sekitar RM700,000 dengan pendapatan tahunan boleh mencecah hingga RM8 juta. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram