SpaceX bakal hantar teknologi anak Malaysia ke bulan, uji kemampuan pengecas guna isyarat radio pertama di dunia


  • Bizz
  • Isnin, 25 Nov 2024

Gambar kiri: Muhammad Mohd (kiri), Muhammad Razlan dan Guo Rui merupakan pencipta kepada teknologi stesen pengecasan tanpa wayar bagi kegunaan di angkasa yang dijangka bakal melakukan percubaan di bulan pada 2026.

PADA Disember tahun lalu, syarikat pemula angkasa negara, Aphelia Sdn Bhd (Aphelia) mencuri perhatian selepas teknologi ciptaan mereka iaitu stesen pengecasan tanpa wayar bagi kegunaan di angkasa dipertandingkan pada Startup World Cup 2023 di Silicon Valley, San Francisco, Amerika Syarikat (AS).

Lebih membanggkaan, teknologi tersebut yang dicipta oleh trio Muhammad Mohd Kamil, 29, Muhammad Razlan Dhamir Hamdan, 30, dan Lee Guo Rui, 26, dikatakan merupakan yang pertama di dunia.

Untuk rekod, stesen pengecasan tanpa wayar itu dikatakan bakal membolehkan pengecasan dilakukan dengan hanya menggunakan isyarat radio berbanding sumber elektrik digunakan di angkasa ketika ini yang hanya bergantung kepada penggunaan panel solar.

BACA LAGI: 'Walau penuh ranjau, percayalah ia berbaloi diharungi', keluarga Tun Daim kongsi pesanan Allahyarham mahu lihat Malaysia lebih baik

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

Secara asasnya, ciptaan tersebut membabitkan pembinaan stesen pengecasan yang dihubungkan ke satelit tanpa penggunaan wayar, sebaliknya bergantung kepada isyarat radio.

Razlan yang juga graduan kejuruteraan elektrikal dan elektronik daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pulau Pinang berkata, apa yang dihasilkan mereka adalah sama seperti konsep mengecas telefon pintar menggunakan bank kuasa tanpa wayar.

6188373147514949620

Dari kiri: Muhammad Mohd (kiri), Muhammad Razlan dan Guo Rui ketika menyertai Startup World Cup 2023 di Silicon Valley, San Francisco, AS pada akhir tahun lalu. — Matt Kamil

Bagaimanapun, dia yang dipetik laporan media tempatan berkata, perkara membezakan teknologi itu adalah stesen pengecasan tersebut berupaya digunakan untuk jarak lebih jauh.

Stesen pengecasan dihasilkan itu dikatakan dapat menjadikan proses pengecasan lebih efisien, mampu mengurangkan kos serta memanjangkan jangka hayat satelit.

Tidak cukup dengan itu, Aphelia turut mendapat satu lagi pencapaian apabila berjaya menarik minat syarikat angkasa di Los Angeles iaitu Astrolab untuk bekerjasama membangunkan teknologi terbabit di bulan.

Astrolab merupakan syarikat yang telah menandatangani perjanjian dengan Space X untuk membawa perayau (rover) pertamanya bagi penerokaan di bulan menerusi penerbangan Starship yang dijangka berlepas dalam tempoh dua tahun akan datang.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut perkembangan terbaharu Aphelia, Majoriti menemu bual Muhammad Mohd Kamil yang juga merupakan pengasas bersama syarikat tersebut.

1. Selepas menyertai pertandingan Piala Dunia Pemula pada awal tahun ini, boleh ceritakan perkembangan terbaharu Aphelia?

Jadi tahun ini pertamanya kita menerima kehadiran penasihat kami iaitu Sebastian Asprella (Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif ThinkOrbital). Jadi beliau merupakan individu bertanggungjawab cipta sistem pengimpalan pertama di dunia yang boleh beroperasi di luar angkasa.

Beliau juga pernah dapat kontrak daripada NASA, Jabatan Pertahanan AS dan mempunyai rakan kongsi yang merupakan bekas Vice President SpaceX, iaitu Lee Rosen. Kebanyakan pasukan mereka juga adalah merupakan bekas jurutera SpaceX Engineers.

Jadi dari situ beliau yang beri panduan kepada kami untuk dapatkan arah tuju yang betul sebab di Malaysia agak sukar kalau kami nak ada advisor (penasihat) yang ada pengalaman dalam industri angkasa atau yang orang panggil deep tech (teknologi baharu).

6188373147514949626

Sebastian (tengah) kini menjadi penasihat pakar kepada Aphelia. — Matt Kamil

Jadi, Alhamdulillah kita berjaya bawa beliau bersama untuk beri panduan kepada kami.

Kedua, daripada segi perkembangan terbaharu, kami juga mula buat percubaan teknologi untuk kami. Alhamdulillah, dapat keputusan memuaskan. Sebahagian daripada teknologi kami itu kami buat percubaan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur dan dah dinilai oleh Profesor Emeritus daripada Jepun (Dr Yoshihide Yamada daripada Akademi Pertahanan Nasional Jepun). Beliau dah tengok kita punya teknologi stesen pengecasan tanpa wayar bagi kegunaan di angkasa dan beliau pun kagum dengan rekaan kami.

Kami merancang nak buat beberapa pusingan demontrasi untuk percubaan kami punya teknologi teras insya-ALLAH awal tahun depan.

Ketiga, baru bulan lepas, pengasas bersama Aphelia Space, Muhammad Razlan tersenarai sebagai antara 30 individu di bawah umur 30 tahun yang mencipta impak besar dalam industri angkasa lepas global oleh media angkasa terbesar di dunia iaitu Payload Pioneers.

Selain itu, kami turut dalam proses perbincangan bersama beberapa syarikat angkasa di AS seperti Lunar Companies, NASA dan Intuitive Machines.

Kami juga baru balik dari Itali bulan lepas daripada menyertai International Astronautical Congress yang merupakan persidangan angkasa terbesar di dunia.

Jadi, kami dapat beberapa peluang dan potensi yang baik. Insya-ALLAH kami akan cuba untuk realisasikan hasil daripada persidangan tersebut dalam masa terdekat.

Pada masa sama, di samping bekerja di bahagian angkasa untuk jangka masa panjang, kami juga ada tetapkan sasaran jangka masa pendek di mana kami buat kerja untuk industri pertahanan dan juga petanian. Jadi, sasaran tersebut juga kami sedang usahakan.

2. Boleh ceritakan mengenai perkembangan kerjasama dengan Astrolab dan sasaran yang ingin dicapai menerusi kerjasama tersebut?

6188373147514949623

Astrolab merupakan syarikat yang telah menandatangani perjanjian dengan Space X untuk membawa perayau (rover) pertamanya bagi penerokaan di bulan menerusi penerbangan Starship yang dijangka berlepas dalam tempoh dua tahun akan datang. — Agensi

Untuk kerjasama tersebut, buat masa sekarang kami sedang fokus untuk majukan dan membangunkan teknologi teras kami. Dah siap baru kita boleh ambil langkah seterusnya.

Sebab kami bangunkan semua teknologi 'in-house' termasuk daripada rekaan cip yang kami reka sendiri. Kalau yang mana terlibat dalam industri semikonduktor, anda akan tahu betapa susah nak buat cip ini. Jadi pada waktu ini semuanya kami fokus terhadap perkara itu dahulu.

Kemudian sebenarnya bukan dengan Astrolab sahaja, kami juga ada kerjasama beberapa syarikat lain seperti yang saya katakan tadi.

Tapi kalau yang Astrolab itu, secara spesifiknya kita bekerjasama sebab mereka ini nak bina dua benda untuk kegunaan di angkasa (bulan). Sekarang dah bina 'rover' dan satu lagi mereka mahu bina menara telekomunikasi yang mereka nak guna untuk dua benda iaitu untuk komunikasi dan juga pemindahan tenaga.

Jadi, untuk pindahkan tenaga itulah mereka nak guna teknologi kami. Jadi perjanjian itu adalah mereka akan bawa teknologi kami ke sana untuk buat percubaan di bulan, Insya-ALLAH pada 2026.

Mereka pun dah tempah slot dengan SpaceX. Kalau tiada sebarang penangguhan, insya-ALLAH akan pergi ke bulan pada 2026.

3. Kiranya Aphelia ini adalah satu-satunya teknologi yang mereka ada untuk bekalkan tenaga dekat sana?

Untuk tenaga, sekarang ini memang kamilah. Tapi sebab mereka akan bawa beberapa benda lain. Contohnya, untuk mereka punya 'rover' itu, mereka akan bawa beberapa teknologi untuk ikut mereka pergi ke bulan. Jadi teknologi kami insya-ALLAH akan jadi salah satu daripadanya.

4. Jadi, maksudnya 2026 ini akan produk teknologi Malaysia yang akan hantar ke sana?

Insya-ALLAH. Ia akan dihantar untuk buat percubaan di sana.

5. Boleh tak ceritakan berapakah kos untuk cipta teknologi ini?

Untuk teknologi ini pada awalnya kami mendapatkan dana sepenuhnya daripada geran kerajaan menerusi Cradle Fund sebanyak RM100,000.

Untuk perkongsian, sebenarnya prototaip untuk teknologi teras kami yang dah nak hampir siap kosnya sebenarnya lima atau 10 kali ganda lebih tinggi daripada harga kami belanjakan setakat ini.

Tapi kita orang kena fikir dan perah otak macam mana pun untuk minimumkan sampai kami dapat harga belanja yang lima kali ganda atau mungkin 10 kali ganda lebih murah untuk bangunkan prototaip tersebut

Jadi sepatutnya kos untuk bangunkannya dianggarkan boleh kata dalam RM1 juta. Tapi kami bangunkan dengan belanja RM100,000 sahaja.

Jadi itu yang kita kata satu proses pembuatan 'lean engineering' yang mana dekat Malaysia ini ramai akan kata kalau harga macam itu, memang sukar nak buat.

6188373147514949625

Pengasas bersama Aphelia, Muhammad Razlan tersenarai sebagai 30 individu teratas di bawah umur 30 tahun yang mencipta impak besar dalam Payload Pioneers.

Tapi kalau macam apa yang dialami oleh antara pekerja terawal di SpaceX, Tom Mueller, Elon Musk kata dekat dia, 'awak kena potong kos 90 peratus daripada harga asal'. Jadi dia pun nak tak nak kena buat. Jadi sebab itu mereka boleh sentiasa berada di depan.

Masalah dekat Malaysia ini bila harga macam itu, dia akan terus kata tak boleh buat. Dia akan fikir macam itu sahaja. Dia tak cuba cari jalan macam mana.

Jadi penasihat kami selalu cakap dekat kami, adakah itu masalah kejuruteraan atau masalah fizik. Kalau perkara itu adalah masalah fizik, mungkin memang tak boleh buat apa. Tapi kalau masalah kejuruteraan, kena pandailah cari jalan.

Bagaimanapun, untuk keseluruhan kos sebenar teknologi ini, kami pun sebenarnya masih sedang cuba kenal pasti kerana pembangunannya masih sedang dalam proses.

Untuk teknologi yang baharu seperti ini, adalah sukar kenal pasti betul-betul anggaran perbelanjaannya. Sebab itu kita kena bahagikan mengikut peringkat demi peringkat untuk dapat idea berapa sebenarnya yang diperlukan.

Sebab dia tidak banyak rujukan kerana ia teknologi baharu. Contoh macam roket Elon Musk buat, dia pun tak tahu harga dia akan jadi macam itu. Jadi sama juga macam kami.

Kemudian, kami juga sebenarnya masih sedang dalam proses mencari cara dan waktu terbaik mengenai kaedah yang bakal digunakan bagi mengumpulkan dana pembiayaan awal kami.

Kalau ikutkan sekarang ini, kami merancang untuk mengumpul sebanyak RM1 juta untuk dana permulaan. Cumanya proses untuk pengumpulan itu belum dilakukan lagi.

Kami juga sedang meneroka peluang bagi mendapatkan dana daripada pihak modal teroka (VC) termasuk daripada luar negara.

Tapi kita kena faham, nak cari VC yang faham mengenai teknologi baharu bukan senang. Sebab pelaburan terhadap teknologi baharu ini berisiko tinggi. Jadi kami sebenarnya sedang dalam proses memilih yang mana arah tuju sesuai untuk kami. Sebab sebagai syarikat pemula, kami tidak mahu ambil duit sahaja.

Kita nak tengok juga dulu apa nilai yang dia bagi dan juga latar belakang mereka sekali gus tidak mahu menanggung risiko kerana kalau salah percaturan, takut makan diri kami.

6. Seperti yang kita tahu, pembangunan teknologi angkasa termasuk penerokaan ke bulan memerlukan satu pelaburan agak besar sehingga menyebabkan wujud pandangan melihat bahawa ia tidak begitu berbaloi lebih-lebih lagi untuk negara kecil seperti Malaysia. Bagaimanakah Aphelia melihat sentimen seperti ini?

Betul, memang yang tanya persoalan macam itu. Tapi bagi kami dia ada dua sebab. Pertama, sebagai manusia kita ini memang ada naluri sebagai peneroka. Contoh kita boleh lihat macam mana orang Eropah menjelajah ke AS. Kenapa mereka nak kena pergi AS sedangkan kalau mereka duduk sahaja situ memang dah selamat.

Tapi memang naluri kita manusia. Kalau tanya diri kita sendiri pun, mesti terdetik dalam hati termasuk waktu kecil untuk tahu apa dekat luar itu.

Kedua, untuk penerokaan ke bulan misalnya. Di sana ada satu bahan dikenali sebagai Helium-3 yang tidak banyak dekat bumi tapi ada banyak dekat bulan. Helium-3 itu akan digunakan untuk pembangunan tenaga nuklear.

Jadi benda itu pun sangat bagus untuk bumi sebab kita sekarang pun ada isu tenaga dan dalam proses untuk beralih ke tenaga hijau. Walaupun mungkin ada yang tak setuju, tapi tenaga nuklear memang tenaga paling lestari dan selamat. Sebab itu benda ini sangat penting.

6188373147514949649

Muhammad Mohd berkata, penciptaan teknologi ke bulan turut secara tidak langsung memberikan kesan ekonomi ke Malaysia dengan syarikatnya mempunyai perancangan bagi membangunkan teknologinya di dalam negara.

Kemudian sebenarnya dengan terlibat bersama penerokaan ke bulan, negara juga akan merasai kesan ekonomi secara tidak langsung. Sebab kami pun sasarkan untuk laksanakan pembuatan teknologi ini di Malaysia.

Selain itu, kita juga nak galakkan lebih ramai orang Malaysia bagi bangunkan teknologi sendiri. Sebab biasanya orang anggap Malaysia ini sebagai negara pengguna teknologi, kita bukan pencipta. Tak ramai berani mencipta teknologi.

Sebab itu kami buat, reka, dan bangunkan sendiri teknologi ini. Seterusnya, kita ini sebenarnya agak terkebelakang dengan negara maju seperti AS dalam pembangunan teknologi. Kalau kita ambil langkah satu-satu, lambat dan sampai bila-bila kita kebelakang.

Jadi seseorang perlu ambil teraju dan terus melangkau untuk pergi lebih jauh. Sebab itu, kalau daripada segi angkasa saya tahu tak boleh nak bersaing dari segi roket, memang kita kalah dengan Elon Musk yang dah ada projek roketnya.

Jadi cara yang boleh buat adalah dengan cari pasaran niche yang kita boleh cuba kuasai. Jadi bagi kita, peluang yang ada adalah daripada segi bekalan tenaga. Itu yang kita cuba sasarkan jadi seperti TNB (Tenaga Nasional Berhad) yang jadi pembekal tenaga, tapi bukan kepada Malaysia, untuk sistem solar di angkasa.

8. Jadi bergerak ke hadapan, apakah perancangan Aphelia Space?

Buat masa ini, kami bergerak dengan tiga orang dan kalau termasuk penasihat maknanya empat orang. Tapi kami memang ada pelan untuk dapatkan jurutera bagi bantu bangunkan teknologi kami.

Cumanya kalau boleh kita memang nak ada pasukan yang kecil dan tak mahu terlalu kejar nak tambah staf sebab kadang-kadang ia tak perlu pun. Jadi lagi kecil lagi senang kami nak fokus.

Kemudian untuk jangka masa panjang, kami juga sebenarnya sedang bekerja bagaimana untuk buat sistem bekalan tenaga kepada dron. Sebab waktu ini dron boleh terbang mungkin dalam 50 minit sahaja bergantung kepada muatan. Jadi kalau dapat panjangkan lagi lebih baik.

Sebab itu kami juga sedang teroka daripada segi industri teknologi pertanian, pertahanan atau monitoring. Jadi perkara ini yang kami turut sedang tumpukan.

Cumanya kami kekal fokus di bahagian teknologi tenaga. Kita tak nak lari daripada benda itu. Kita tak mahu hilang fokus. Kerana akhirnya, matlamat sebenar kita adalah untuk hantar teknologi kita ke bulan.

Tapi dalam proses tersebut, itu adalah cara pastikan kami kekal mapan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram