TIGA tahun bekerja tanpa gaji. Itulah pengorbanan awal dilalui tiga pengasas jenama seluar jean buatan tempatan, Raw Denim House untuk memperkembangkan produk mereka.
Raw Denim House atau RDH dimulakan di sebuah pekan kecil, Jerteh, Besut Terengganu sekitar 2013 dengan hanya menjahit di rumah menggunakan sebuah mesin jahit terpakai.
Selepas lebih sedekad beroperasi, mereka boleh berbangga apabila produk buatannya kini mempunyai pelanggan bukan sahaja dalam kalangan penggemar jean tempatan, juga dari luar negara termasuk Switzerland, Jepun dan Amerika Syarikat.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Tidak cukup dengan itu, pada tahun ini, RDH mengorak langkah lebih jauh menerusi kolaborasi bersama jenama hotel antarabangsa, Marriot melalui rangkaian hotelnya, Moxy Kuala Lumpur Chinatown.
Perkembangan tersebut bakal menyaksikan syarikat itu bekerjasama dengan Marriot untuk menyediakan pakaian seragam jean daripada RDH untuk pekerja di hotel terbabit.
Pengasas bersama yang juga Pengarah RDH, Ahmad Safuan Nizam Kamaruddin menyifatkan kolaborasi yang bakal dilancarkan pada Disember depan itu sebagai satu kemenangan buat RDH khususnya terhadap usaha mengangkat kedudukan jean dalam dunia fesyen tempatan.
"Ia sememangnya seperti satu kemenangan buat kami. Sebab kalau nak tahu, pada 1950-an, seorang selebriti di Amerika Syarikat (AS) dikenali sebagab Bing Crobsy pernah dihalau keluar dari sebuah hotel terkenal di negara tersebut sebab dia pakai denim.
"Zaman itu, denim tidak dibenarkan masuk hotel sebab ia dikira pakaian kelas pekerja. Jadi bila kita dipelawa untuk buat kolaborasi macam ini, ia merupakan macam satu kemenangan buat pembuat dan pengeluar denim kecil seperti kami.
"Sebabnya dengan kerjasama ini, kita berjaya ubah pemikiran orang terhadap denim apabila ia sudah boleh berada di tempat-tempat macam ini," katanya kepada Majoriti.
Ahmad Safuan (kiri) bersama pelanggan yang membeli produk keluaran RDH. — Facebook/RawDenimHouse
Dalam pada itu, Ahmad Safuan turut berkongsi, RDH kini juga bekerjasama rapat dengan Marriot untuk mengembangkan lagi legasi produk jean Malaysia ke pasaran luar termasuk menerusi penyediaan pakaian seragam jean kepada pekerja di sebuah hotel di Niseko, Jepun.
RDH yang pada asalnya menyediakan perkhidmatan ubah suai jean diasakan secara bersama oleh Ahmad Safuan bersama abangnya Ahmad Syukri dan juga seorang rakan mereka dan Muhamad Aidil Akhyar.
Meskipun tidak memiliki latar belakang dalam bidang jahitan rekaan, mereka mempunyai minat begitu mendalam terhadap pakaian vintaj dan terpakai khususnya jean.
Ahmad Safuan adalah graduan lulusan Kejuruteraan Mekanikal dari Institut Teknikal Tinggi Terengganu manakala Ahmad Syukri adalah graduan Kejuruteraan Pembuatan dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) sementara Muhamad Aidil pula merupakan graduan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dalam jurusan Kejuruteraan Elektrik.
Di peringkat awal permulaan perniagaannya, RDH membuat seluar jean menggunakan kain lebihan seluar diubah suai.
Bagaimanapun, dengan peningkatan permintaan daripada rakan-rakan dan kenalan, mereka kemudiannya melakukan penjenamaan dengan menghasilkan seluar secara 'custom made' sebelum terus berkembang dengan produk pakaian jean siap untuk dipakai dengan slogan 'Made In Besut'.
Menurut Ahmad Safuan, antara rujukan awal mereka selain Internet untuk mempelajari teknik menjahit jean adalah menerusi sebuah buku panduan fesyen berbahasa Jepun milik abangnya yang berkongsikan 'blueprint' menyeluruh bagi pembuatan jean.
Antara keistimewaan RDH adalah pemilihan fabrik 'raw' yang tidak menjalani proses pembasuhan biasa dan diimport dari Jepun, Thailand, China dan Amerika Syarikat dengan berat fabrik antara 340g dan 396g menjadikannya lebih selesa dipakai dalam iklim di Malaysia.
RDH kini mengeluarkan sebanyak 300 pasang jean setiap bulan. — Facebook/RawDenimHouse
Kini, RDH yang beroperasi dengan lapan orang pekerja menghasilkan kira-kira sebanyak 300 pasang jean setiap bulan dengan menggunakan 30 mesin jahit industri yang dimilikinya.
Sehelai seluar jeans RDH dijual pada harga antara RM250 hingga RM350 untuk jenis biasa manakala produk premium pula dipasarkan pada harga RM450 dan ke atas.
Bekerja tanpa gaji
Ditanya sama ada adakah dia menjangkakan kejayaan yang dikecapi RDH ketika ini, Ahmad Safuan berkata, ia sememangnya merupakan sebahagian daripada 'blueprint' yang berada dalam visi mereka.
"Memang kita dah kita dah ada peta perancangan mengenai benda itu. Kadang-kadang bila ada orang panggil kita bentangkan idea, semua benda itu dah ada, cuma tinggal nak buat sahaja," ujarnya.
Bagaimanapun, Ahmad Safuan mengakui perjalanan sampai ke peringkat di mana RDH berada tidaklah mudah.
Ini kerana sama seperti perniagaan lain, mereka turut berdepan cabaran di peringkat awal termasuk apabila terpaksa melakukan pinjaman bernilai lebih RM50,000 untuk membeli mesin jahit selepas gagal mendapatkan pembiayaan.
Pada waktu itu, Ahmad Safuan berkata, ramai pihak masih belum yakin terhadap potensi perniagaannya memandangkan pasaran penggunaan jean jenis 'raw' yang masih belum begitu dikenali di Malaysia.
"Masa itu kita pergi mana-mana agensi (untuk pembiayaan) pun kena tolak sebab mereka tidak percaya dengan visi kita dan apa sebenarnya pandangan kita tentang pasaran ketika itu dan masa depan jean tempatan.
"Tapi Alhamdulillah kita ditemukan dengan orang baik yang sudi melabur dan bagi pinjam kepada kami modal pertama RM50,000 itu untuk beli mesin," katanya.
Untuk membayar semula pinjaman tersebut, Ahmad Safuan berkata, mereka bertungkus-lumus bekerja dengan langsung tidak mengambil gaji selama hampir tiga tahun untuk menghasilkan jean buatan sendiri.
RDH kini turut mempelbagaikan produknya dengan memperkenalkan gaya pakaian kerja atau 'workwear'. — Facebook/RawDenimHouse
Pada waktu itu, menurutnya, pendapatan harian mereka datang daripada hasil perkhidmatan ubah suai jean di kedai.
"Untuk tiga tahun pertama itu kami memang hampir tiada gaji walaupun kadang-kadang itu adalah dapat RM100 sebulan setiap seorang sebab yang lebih semua kami guna untuk bayar pinjaman mesin.
"Saya masih ingat kami bertiga kerja daripada pukul 10 pagi balik pukul 5 pagi dengan hampir tidak ada gaji.
"Jadi, RM50,000 itu kami dapat selesaikan dalam tempoh dua tahun setengah," katanya yang mengakui memerlukan tempoh antara lima hingga tujuh tahun sebelum berjaya mengeluarkan jean dengan kualiti terbaik yang menjadi signatur RDH.
Menurut Ahmad Safuan, pada waktu itu, selain mempunyai matlamat yang jelas, keyakinan terhadap bakat dimiliki khususnya dalam pembuatan jean merupakan antara motivasi yang menjadi pendorong buat mereka untuk meneruskan perniagaan terbabit.
"Apa yang dorong kita waktu itu adalah sebab kami jelas terhadap masa depan dan kedudukan yang kita nak capai. Cumanya tinggal perlu hadapi mungkin halangan yang ada daripada segi kemahiran seperti nak beli mesin, cara uruskan stok dan penetapan harga.
"Kemudian kami juga yakin dengan bakat yang ada. Jadi benda inilah yang mungkin buatkan kami dapat terus kekal sampai sekarang," ujarnya.
Bergerak ke hadapan, Ahmad Safuan berkata, mereka kini dalam proses untuk mempelbagaikan lagi produk ditawarkan termasuk dengan memperkenalkan gaya pakaian kerja atau 'workwear' untuk mencapai pasaran pelanggan lebih meluas.
Pada masa sama, ujarnya, RDH kini turut dalam perancangan untuk membuka kedai pertamanya di Lembah Klang pada separuh pertama tahun depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram