PENTERNAKAN ayam adalah salah satu sektor keselamatan makanan terpenting di Malaysia.
Ini kerana daging ayam merupakan antara sumber utama protein masyarakat di dalam negara.
Dengan meningkatnya permintaan, kumpulan penternak sentiasa mencari cara untuk menaikkan kapasiti pengeluaran dengan menggunakan pelbagai pendekatan dan cara bagi memastikan kestabilan bekalan sumber makanan tersebut.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Antara cara digunakan adalah dengan memberikan suntikan hormon atau bahan tambahan seperti vaksin dan antibiotik bagi mempercepatkan pembesaran dan melindungi haiwan tersebut daripada penyakit.
Namun, amalan ini, walaupun dapat meningkatkan hasil dalam jangka pendek dipercayai turut menimbulkan pelbagai isu berkaitan dengan kesihatan, keselamatan makanan, dan etika dalam penternakan.
Ladang penternakan ayam yang diusahakan Haziq terletak di Lenggeng, Seremban.
Menyedari mengenai isu tersebut, seorang pelajar lepasan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Haziq Mahmur, 28, tampil hadir dengan kaedah alternatif penternakan ayam menerusi gaya pemakanan lepas bebas.
Di bawah kaedah tersebut, ayam diternak di ladang berkenaan mengamalkan diet pemakanan dengan mereka dibebaskan daripada reban untuk mendapat makanan sendiri sepanjang hari.
Cara penternakan terbabit sama sekali berbeza dengan amalan kebiasaan industri yang menternak ayam menerusi persekitaran terkawal.
Haziq yang juga graduan bidang kejuruteraan biokimia berkata, kaedah tersebut dilakukan bagi memberikan persekitaran terbaik untuk ayam membesar tanpa memerlukan penggunaan antibiotik, vaksin dan hormon pembesaran.
"Dengan cara penternakan lepas bebas ini, ayam mendapat matahari yang cukup dan bebas memilih makanan mereka sendiri. Dua faktor ini menyebabkan ayam yang dibela sihat dari sebarang penyakit.
"Jadi, dengan tahap kesihatan yang baik, ayam ternakannya tidak perlu menggunakan antibiotik, vaksin dan hormon pembesaran," katanya kepada Majoriti.
Ayam Lepas Lenggeng turut dijual melalui platform dalam talian.
Menurut Haziq, diet makanan diberikan terhadap ayam ternakannya terdiri daripada 60 peratus makanan alami iaitu ulat, rumput, semut dan anai-anai, 30 peratus sisa makanan diperam probiotik Bokasi, 10 peratus dedak tanpa antibiotik daripada protein black soldier fly larvae (bsfl).
Menerusi kaedah tersebut, ayam dikenali sebagai Ayam Lepas Lenggeng dihasilkan memiliki daging yang kenyal, berprotein tinggi, kurang lemak dan manis dagingnya.
Dalam pada itu, daging ayam yang diternak dengan kaedah tersebut dipercayai turut sesuai diambil untuk mereka yang mempunyai penyakit seperti ekzema, kulit, ketidakseimbangan hormon serta masalah autoimmune antaranya psoriasis, sclerosis, rheumatoid arthiritis.
Haziq berkata, ladang ternakannya di Lenggeng, Seremban, Negeri Sembilan diusahakan secara sambilan bermula Julai 2023 kini mempunyai kira-kira 200 ekor ayam dengan jumlah jualan kira-kira 50 ekor setiap bulan.
Pada waktu ini, menurutnya, ladangnya menempatkan kira-kira enam buah reban dengan setiap satunya mempunyai 100 kaki persegi.
Idea awal
Ladang ternakan Ayam Lepas Lenggeng turut menghasilkan telur ayam.
Haziq yang berasal dari Senawang berkata, pada awalnya, penternakan ayam itu dilakukan sekadar sebagai hobi kerana mahu meneroka cara penternakan terbaik dengan berpandukan kaedah lebih semula jadi.
"Saya mulakan dengan 15 ekor anak ayam yang diperoleh daripada penternak tempatan dan buat reban. Waktu mula itu memang tiada niat nak jual pun," katanya yang mengeluarkan modal awal RM3,000 untuk membangunkan ladang tersebut termasuk membina reban.
Bagaimanapun, Haziq berkata, kaedah penternakannya itu kemudiannya mendapat perhatian sebuah komuniti di laman X, Kelab Matahari Sinanjung Suria (KMSS) yang memperjuangkan kelestarian termasuk dalam isu sumber makanan.
"Jadi bila dapat permintaan daripada mereka. pada hujung 2023 saya dah mula jual. Komuniti ini juga yang memberi modal untuk saya kembangkan lagi penternakan yang saya lakukan," katanya yang masih melakukan ternakan tersebut secara sambilan.
Dalam pada itu, Haziq yang bertugas sebagai pegawai penyelidik di sebuah institusi penyelidikan tempatan mengakui berbanding dengan ayam lain, hasil ternakannya dijual dengan pada harga agak mahal iaitu pada RM45 seekor termasuk perkhidmatan pemotongan, pembungkusan dan proses sejuk beku.
Ayam Lepas Lenggeng dibiarkan lepas untuk makan sepanjang hari.
Ini kerana ayam diternak di ladangnya memerlukan mengalami proses pembesaran lebih lama iaitu mencecah sehingga enam bulan berbanding ayam biasa yang memerlukan masa hanya kira-kira dua bulan.
Bagaimanapun, katanya, mereka tidak mahu bersaing dengan pembekal ayam sedia ada yang beroperasi di Malaysia ketika ini.
Sebaliknya, Haziq berkata, dia lebih berminat untuk menerokai kaedah penternakan terbabit yang menurutnya belum begitu mendapat perhatian oleh ramai pihak termasuk penternak Bumiputera.
Bergerak ke hadapan, dia yang mengusahakan secara sambilan ladang tersebut bersama tiga lagi rakannya yang lain menyasarkan untuk meningkatkan kapasiti pengeluarannya sekurang-kurangnya dua kali ganda berbanding ketika ini dalam waktu terdekat.
Selain itu, dia Haziq juga merancang untuk memasarkan Ayam Lepas Lenggeng ke negeri lain selain Negeri Sembilan dan Lembah Klang.
"Dalam tempoh lima tahun akan datang, saya harap kita akan ada produk hiliran seperti daging salai dan telur masin," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram