
SEBAGAI seorang jurutera mekanikal, kehidupan Muhammad Afiq Muhammad Ibrahim sentiasa bergelumang dengan mesin.
Dalam tempoh tersebut, beliau yang merupakan graduan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di Batu Pahat, Johor seharian terdedah kepada pelbagai jenis bau minyak termasuk minyak gris.
Ditambah dengan waktu kerja panjang, situasi bukan sahaja memenatkan, malah turut menyebabkan Muhammad Afiq, 35, mengalami kesukaran untuk tidur lantaran keadaan di tempat kerja yang cukup mencabar itu.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Untuk menangani masalah tersebut, beliau yang meminati wangian, kemudiannya mencuba pelbagai jenis produk minyak bagi mendapatkan lebih ketenangan dan mudah untuk berehat selepas bekerja.
"Jadi waktu itu saya cuba bermacam-macam jenama minyak untuk atasi masalah ini. Sampailah menemui Bakhoor," kata Muhammad Afiq yang juga merupakan pengasas syarikat peruncit produk kayu gaharu, Mafa Oud kepada Majoriti.
Muhammad Afiq menunjukkan produk kayu gaharu yang dijualnya.
Bakhoor merupakan cebisan kayu yang diadun bersama minyak wangi dan digunakan sebagai wangian dengan cara dibakar di atas arang.
Bermula dengan Bakhoor, anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu berkata, beliau mula membina minat terhadap produk kayu gaharu.
Selain itu, mempelajari dan mengkaji lebih mendalam mengenai jenis kayu terbabit yang biasa digunakan sebagai bahan wangian dan minyak.
"Saya belajar mengenai Bakhoor dan gaharu dengan pelbagai jenis lapisan masyarakat, agama dan bangsa," katanya.
Bertitik tolak daripada situ, beliau seterusnya membuat keputusanmengasaskan Mafa Oud pada 2020 selepas tiga tahun bekerja sebagai jurutera mekanikal di Johor Bahru, Johor.
Langkah tersebut diambil selepas melihat potensi wujud terhadap produk kayu gaharu khususnya yang dihasilkan di Malaysia.
Menurutnya, produk berasaskan kayu gaharu tempatan disifatkan belum begitu diterokai dan popular dalam kalangan masyarakat.
"Semasa buat kajian barulah saya tahu kayu gaharu mempunyai hampir 25 spesies di dunia dan di 14 buah negara sahaja.
"Menariknya, Malaysia salah satu negara miliki paling banyak spesies gaharu dan paling diminati kerana keunikannya dari segi aroma. Jadi ini yang tiada pada negara lain," ujarnya.
Kayu gaharu yang dijual oleh Mafa Oud diperoleh dari pelbagai tempat di dalam negara. — Mafa Oud
Menurut, faktor tanah, kelembapan cuaca dan tempat dilihat menjadi antara faktor utama menyumbang kepada keunikan kayu gaharu yang tumbuh di seluruh negara sehingga menyebabkannya menjadi rebutan orang luar termasuk dari Asia Barat dan negara Asia seperti China, Korea Selatan dan Jepun.
"Apabila orang luar datang kebiasaannya mereka mempunyai spesifik gaharu yang dimahukan. Contohnya dari Terengganu, Sarawak dan Kedah. Mereka tidak mahu dari tempat lain," ujarnya yang sudah menetap di Johor Bahru sejak 12 tahun lalu.
Pada waktu ini, Mafa Oud mempunyai beberapa produk utama berasaskan kayu gaharu antaranya kayu gaharu pelbagai spesies, minyak, wangian dan terbaharu kayu gaharu stick.
Antara manfaat dipercayai boleh diperolehi daripada wangian kayu gaharu adalah mewangikan rumah, memberi terapi untuk keresahan dan tekanan emosi, menangani masalah susah tidur dan membantu memberikan fokus serta menajamkan fikiran.
Beralih penjual wangian kayu
Dalam pada itu, Muhammad Afiq mengakui bahawa beliau berdepan cabaran dalam proses untuk beralih kerjaya daripada jurutera kepada penjual produk kayu gaharu.
"Bagaimanapun, kedua-dua bidang ini lebih kurang sama sahaja sebagai contoh untuk menyuling minyak, saya menerapkan ilmu bidang kejuruteraan dari segi teknik dan sistem sulingan," ujarnya.
Antara produk wangian berasaskan kayu gaharu. — Mafa Oud
Pada masa sama, beliau turut mendapatkan bantuan dan tunjuk ajar daripada Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia dan Institut Penyelidikan Malaysia.
Dalam pada itu, Muhammad Afiq berkata, menerusi jualannya di platform dalam talian, pihaknya turut mendapat permintaan yang agak baik dari luar termasuk Amerika Syarikat, Jerman, Rusia, Singapura dan Asia Barat (Kuwait, Bahrain dan Arab Saudi).
Menurutnya, Mafa Oud turut mempunyai satu bilik pameran di Skudai, Johor untuk pelanggan yang mahu melihat secara dekat koleksi kayu gaharu dan wangian ditawarkan.
Belajar daripada orang kampung
Meskipun baru diwujudkan dalam tempoh empat tahun, Muhammad Afiq berkata, ramai pihak terkejut dengan keupayaan Mafa Oud berkembang pantas dalam perniagaan.
Pencapaian itu menurutnya disumbangkan antara lain kerana minat dan kesungguhannya untuk belajar mengenai kayu tersebut daripada pelbagai pihak dan latar belakang.
"Salah satu yang paling penting sebenarnya sikap nak ambil tahu. Dalam masa empat tahun, saya kumpul ilmu daripada banyak guru. Kalau nak sebut satu persatu memang terlalu ramai.
"Saya juga pergi ke kampung-kampung bertemu penduduk demi mendalami ilmu kayu gahara. Daripada ilmu inilah saya salurkan pula kepada orang lain," katanya yang pernah 'merantau' ke Terengganu, Perak, Kedah hingga Sabah untuk mendapatkan ilmu mengenai kayu gaharu.
Bagaimanapun, beliau juga berdepan dengan pelbagai cabaran untuk memulakan perniagaan dalam industri kayu gaharu.
Antaranya melibatkan isu bekalan bahan mentah, ketiadaan penetapan harga standard dan pelbagai kekangan dokumentasi serta permit yang wujud untuk tujuan eksport ke luar negara.
Malah katanya, untuk memulakan perniagaan kayu gaharu memerlukan jumlah modal yang agak besar.
"Satu kilogram (kg) minyak lebih kurang harga RM30,000 sampai RM100,000. Kalau kayu pun sama, untuk 1kg jadi dalam RM100,000. Jadi, perlukan modal sangat besar," katanya.
Disebabkan itu, peringkat awal, Mafa Oud bermula dengan menjual kayu gaharu gred rendah untuk membina pendapatan sebelum beralih kepada kayu dengan gred lebih tinggi.
Antara pelanggan yang hadir ke bilik pameran Mafa Oud di Skudai, Johor. — Mafa Oud
"Daripada gred rendah kami belajar. Sedikit demi sedikit tambah baik. Apabila suda ada modal lebih, baru mula jual gred lebih tinggi," katanya.
Menurut Muhammad Afiq, pada waktu ini, jualan harga bagi kayu gaharu boleh mencecah hingga RM10,000 bagi setiap kilogram manakala untuk minyak pula mencapai RM20,000 untuk setiap kilogram.
Bergerak ke hadapan, beliau berharap agar khasiat dan wangian kayu gaharu akan semakin dikenali bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia.
Ujarnya, pada waktu ini, ramai dalam kalangan rakyat Malaysia masih tidak mengetahui mengenai manfaat kayu berkenaan.
Antaranya berfungsi sebagai minyak pati atau dibakar sebagai kemenyan bagi dijadikan aromaterapi membantu mengurangkan stres, masalah tidur, gangguan pencernaan dan pernafasan.
"Malah sebenarnya setiap negeri di Malaysia mempunyai kayu gaharu sendiri baik yang liar di hutan mahupun ditanam di ladang termasuk di Sabah dan Sarawak.
"Pada masa sama, bau kayu gaharu di Malaysia unik. Selama ini ramai yang anggap gaharu berbau masam, busuk atau bau haiwan. Tapi sebenarnya aroma itu berbeza ikut spesies dan lokasi ia ditanam," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram