
BERMULA hanya mengeluarkan 10 unit sebulan, jenama topi buatan tangan tempatan diusahakan ibu dan anak, TopiTin kini boleh berbangga dengan pencapaian hari ini.
Selepas empat tahun, mereka bukan sahaja berjaya meningkatkan jumlah pengeluaran meskipun masih beroperasi di rumah di Shah Alam, Selangor, malah rekaan topi mula memasuki kedai di dalam negara.
TopiTin merupakan jenama topi buatan tangan tempatan yang mengetengahkan rekaan bukan sahaja menawan, tetapi cukup unik.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Ia selari dengan slogan iaitu 'Unleash Your Inner Quirkness' (Serlahkan keunikan dalaman anda).
Fatin Liyana Safuan, 26, berkata, beliau dan ibu, Maznorila Muhd Zain, 55 memulakan perniagaan tersebut ketika minggu pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika pandemik Covid-19 pada awal 2020.
Pada ketika itu, Fatin berkata, idea untuk menjual topi tersebut timbul ketika secara spontan terlihat video DIY cara membuat bucket hat.
Bermula daripada situ, beliau cuba menghasilkan sendiri topi berkenaan dengan bantuan ibunya yang turut merupakan tukang jahit.
Bangga dengan hasil diperoleh, Fatin seterusnya berkongsikan di media sosial sehingga menarik perhatian rakan, kenalan dan keluarga terdekat.
"Kami awalnya menjual kepada kawan-kawan dan keluarga, TopiTin bermula daripada situ," katanya kepada Majoriti.
Dalam pada itu, Fatin berkata, pendedahan awalnya terhadap topi dek kegemaran bapanya, Safuan Yusof, 56, yang merupakan pengumpul topi.
"Sejak kecil ayah suka kumpul pelbagai jenis topi sehingga di rumah kami terdapat almari khas menyimpan pelengkap gaya tersebut.
"Kalau orang pergi luar negara biasa mengumpul keychain, baju dan cawan, tapi ayah pula mencari topi," kongsinya.
Maznorila (kanan) dan Safuan turut menggayakan topi keluaran TopiTin ketika bercuti. — TopiTin
Peringkat awal perniagaan, Fatin berkata, mereka menggunakan lebihan kain di rumah termasuk kain batik dan pelikat yang tidak pernah digunakan dan koleksi keluarga termasuk milik arwah datuk.
"Waktu itu kami guna kain yang ada dahulu. Kemudian, batik pula trendy semasa PKP, maka alhamdulillah topi mendapat sambutan.
"Kemudian selepas itu baru kita start dapatkan kain daripada mak cik saya yang kebetulan adalah pembekal batik," ujarnya yang turut mempunyai pekerjaan sepenuh masa sebagai pereka grafik.
Kini, TopiTin menghasilkan kira-kira 100 hingga 150 topi sebulan dengan ia turut dijual di 10 kedai terdiri daripada lapan di sekitar Lembah Klang dan satu masing-masing di Melaka dan Pulau Pinang, selain jualan daripada platform dalam talian seperti Shopee serta TikTok Shop.
Tugas untuk menjahit topi keluaran TopiTin dilakukan oleh ibu kepada Fatin (gambar kiri). — TopiTin
Mengulas mengenai rekaan topinya, Fatin berkata, latar belakangnya sebagai pereka grafik sememangnya membantu untuk memastikan ia memenuhi cita rasa ingin diketengahkan.
"Topi kita banyak corak dan warna yang unik. Sebab mahu pelanggan menonjolkan diri mereka melalui topi.
"Mungkin ada individu yang tak yakin untuk tampilkan diri melalui pakaian seperti baju misalnya kerana terlalu menonjol.
"Jadi mungkin dengan topi, ia boleh jadi adalah cara lebih halus untuk ekspresikan diri," katanya.
Dari segi harga pula Fatin menyifatkan adalah berpatutan dengan mengambil kira proses dilaksanakan untuk menghasilkan topi berkenaan.
Rekaan unik bucket' hat keluaran TopiTin
"Sebab kami buat topi daripada scratch bermula beli kain, memilih benang sehinga proses menjahit.
"Selain itu, rekaan topi kami juga reversible. Maknanya bahagian luar dan dalam kedua-duanya sesuai digayakan," katanya.
Bergerak ke hadapan, Fatin berkata, beliau turut memiliki perancangan untuk membuka kedai berdekatan dengan kediaman keluarganya di Shah Alam.
Selain itu, berhasrat mengembangkan capaian produknya ke luar dengan bermula di negara terdekat seperti Singapura dan Thailand.
"Sekarang ini pembelian dalam talian kami menghantar produk ke Indonesia dan Singapura.
"United Kingdom (UK) pun ada cuma masih belum ramai sebab faktor kos penghantaran yang tinggi," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram