
SEORANG penunggang motosikal maut selepas terlibat dalam kemalangan di Jambatan Sultan Yahya Petra, Kota Bharu Kelantan pada Jumaat.
Menerusi video papan pemuka (dashcam) tular di media sosial sejak Sabtu, kejadian berlaku apabila mangsa cuba memotong beberapa kenderaan di laluan 'double line'.
Cubaan itu bagaimanapun gagal selepas sebuah kereta muncul di lorong bertentangan.
BACA LAGI: Anak saya tak pernah makan gula-gula gummy sebelum ini — Bapa Mohamad Fahmi
Rakaman kemalangan maut di Jambatan Sultan Yahya. Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
Kredit: Orang Awam pic.twitter.com/B4oVJ6e9L9
— Nadine Ardine (@MoMoT_Nadine) February 21, 2025
Mangsa juga dilihat tidak sempat mengelak sehingga menyebabkan kedua-dua kenderaan itu bertembung.
Dalam video sama, kelihatan mangsa tercampak manakala motosikalnya terseret dan terbakar di bahu jalan.
Akibat rempuhan itu, mangsa Muhammad Adam Abdullah, 17, dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika pemandu kereta jenis Perodua Viva, seorang lelaki berusia 30-an, memandu dari arah Pasir Pekan menghala ke Kota Bharu.
Katanya, setibanya di lokasi kejadian, pemandu kereta dipercayai sedang memandu lurus di laluan yang betul.
“Secara tiba-tiba, sebuah motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggang mangsa dari arah Kota Bharu menghala ke Pasir Pekan di laluan bertentangan, cuba memotong kenderaan jenis yang tidak dapat dipastikan, namun gagal memasuki semula ke laluan asal dan terlanggar kereta di bahagian hadapan.
“Motosikal mangsa terbakar dan akibat perlanggaran itu, penunggang meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk bedah siasat,” katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.
Dalam pada itu, pemandu kereta mengalami kecederaan di bahagian tangan dan dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Saksi kemalangan diminta tampil untuk membantu siasatan di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu atau boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Muhammad Syarafuddin Ramlee di talian 09-7752315. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram