Gula-gula gummy sebesar bola pingpong tak patuh pelabelan, dilarang dijual di semua platform — KKM


  • Primer
  • Jumaat, 21 Feb 2025

Penjualan gula-gula gummy sebesar bola pingpong adalah dilarang sama sekali di semua platform dalam talian serta pasaran tempatan. 

SIASATAN Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati gula-gula gummy sebesar bola pingpong yang dijual di pasaran tempatan melanggar keperluan pelabelan yang ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dalam Akta Makanan 1983 [Akta 281].

KKM dalam satu kenyataan pada Jumaat menegaskan penjualan produk tersebut adalah dilarang sama sekali di semua platform dalam talian serta pasaran tempatan. 

"Tindakan penguatkuasaan, termasuk penyitaan produk, akan dilakukan mengikut peraturan yang ditetapkan.

BACA LAGI : Kanak-kanak tercekik gummy eye ball di Pulau Pinang meninggal dunia

BACA LAGI : Rakan lihat mangsa terjatuh, tak sedarkan diri tercekik gummy eye ball — Polis

"Melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian ingin memaklumkan bahawa saiz atau bentuk produk makanan tidak dikawal di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985, kecuali untuk 'konfeksi jeli terkawal'," kata kenyataan itu.

Menurut peraturan, produk sedemikian dengan diameter 45 milimeter atau kurang mesti dilabel dengan amaran: "AMARAN: BOLEH MENYEBABKAN RISIKO TERSEDAK" serta pernyataan "TIDAK SESUAI UNTUK KANAK-KANAK BAWAH 3 TAHUN."

Mohamad Fahmi Hafiz Mohamad Fakhruddin, yang sebelum ini dilaporkan kritikal selepas tercekik gula-gula ‘gummy’, disahkan meninggal dunia pada Khamis.Mohamad Fahmi Hafiz Mohamad Fakhruddin, yang sebelum ini dilaporkan kritikal selepas tercekik gula-gula ‘gummy’, disahkan meninggal dunia pada Khamis.

Dalam masa yang sama, orang ramai, terutamanya ibu bapa, dinasihatkan supaya memantau dan menasihati anak-anak mereka agar lebih berhati-hati dalam memilih makanan, khususnya yang boleh meningkatkan risiko tercekik. 

KKM menegaskan risiko tercekik adalah tinggi, terutamanya dalam kalangan bayi dan kanak-kanak kecil.

"Risiko itu semakin meningkat apabila makanan tidak dikunyah dengan betul atau ditelan secara terus. 

"Insiden tercekik lebih kerap berlaku dengan makanan yang keras, kenyal, kecil, dan berbentuk bulat kerana ia mudah tersangkut di saluran pernafasan. Kanak-kanak harus sentiasa dipantau oleh ibu bapa atau penjaga ketika makan," tambah kenyataan itu.

KKM turut memberi jaminan pihaknya akan terus menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan keselamatan makanan serta mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan kejadian serupa pada masa hadapan.

Pengguna digalakkan untuk menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri terdekat, atau melayari laman web Sistem Pengurusan Aduan Awam KKM (SISPAA) serta halaman Facebook PKKM sekiranya mempunyai sebarang kebimbangan berkaitan keselamatan makanan.

Terdahulu media melaporkan, seorang murid Sekolah Kebangsaan Sungai Dua di Butterworth, Mohammad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin dilaporkan berada dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Pulau Pinang (HPP) pada Rabu  selepas tercekik gula-gula gummy yang dibelinya di luar kawasan sekolah.

Murid berusia 10 tahun itu meninggal dunia pada Khamis dan telah selamat dikebumikan pada Jumaat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, Instagram dan Telegram