
MASYARAKAT diseru agar tidak panik dan terus memberikan kerjasama kepada pasukan kesihatan dan pihak berwajib susulan jangkitan kusta di Kampung Orang Asli Chergun dan Guntur di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, berdasarkan pemantauan dan tindakan yang diambil oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Negeri Sembilan, situasi di kedua-dua kawasan tersebut masih terkawal.
"Kerajaan negeri bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) akan terus memantau situasi ini dengan rapi dan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.
BACA LAGI : Wabak kusta di Negeri Sembilan ragut nyawa remaja Orang Asli, 2 kampung dikuarantin serta merta
BACA LAGI : Digelar sebagai 'penyakit pemisah', generasi muda titik mula lawan 'stigma' masyarakat tentang kusta
"Situasi kusta di Kuala Pilah adalah terkawal dan pengasingan pesakit tidak lagi diperlukan, kerana adanya rawatan yang berkesan serta efektif.
"Semua pesakit sedang menerima rawatan mengikut garis panduan KKM," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Beliau turut menasihatkan orang ramai untuk mendapatkan maklumat yang tepat daripada pihak berkuasa dan mengelakkan penyebaran maklumat yang tidak sahih.
Terdahulu, media melaporkan bahawa seorang gadis berusia 18 tahun dari Kampung Orang Asli Chergun, Kuala Pilah, meninggal dunia pada Isnin akibat kusta, manakala lapan yang lain sedang menerima rawatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram