Kes tembak isteri di KLIA: Hafizul Hawari mengaku salah 7 tuduhan jenayah di Kelantan


Untuk rekod, pada 25 April tahun lalu, Hafizul Hawari didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang atas pertuduhan cuba membunuh isterinya dan mencederakan pengawal peribadi mangsa di KLIA, 14 April lalu.

PENGURUS syarikat agensi pelancongan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan pada Rabu atas tujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata api pada 15 April tahun lalu.

Tertuduh, Hafizul Hawari, 38, menukar pengakuan kepada mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan Selasa depan untuk fakta kes dan hukuman.

BACA LAGI : Kes tembak KLIA: Sebutan semula kes pemilikan senjata api Hafizul Hawari 11 Ogos depan

BACA LAGI : Suspek tembak KLIA akui masih sayangkan Farah Cie

Menurut laporan The Star, mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa memiliki senjata api jenis pistol tertulis Glock 19 Austria, Made in Turkey, yang menyalahi Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat minimum enam kali jika disabitkan.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa memiliki 33 butir amunisi PMC 380 Auto tanpa lesen sah mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 8 akta sama sekali gus memperuntukkan hukuman maksimum tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Pertuduhan ketiga, Hafizul Hawari didakwa memiliki satu bungkusan plastik cerah mengandungi mercun bola tanpa permit mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan boleh dihukum di bawah akta sama.

Bagi pertuduhan keempat hingga keenam, tertuduh didakwa memiliki tiga kad pengenalan milik tiga individu lain yang menjadi kesalahan mengikut 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, yang boleh dipenjara tidak lebih tiga tahun atau dengan denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Untuk pertuduhan ketujuh, Hafizul Hawari didakwa memandu Honda Civic warna putih yang menggunakan nombor pendaftaran palsu mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah akta sama.

Kesemua pertuduhan itu dilakukan di dalam sebuah kereta Honda Civic di perkarangan KPJ Perdana Specialist Hospital di Kota Bharu 2 petang, 15 April tahun lalu.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad dan tertuduh diwakili peguam Nik Mohd Faris Syazwan Zainuzzaman.

Untuk rekod, pada 25 April tahun lalu, tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang, Selangor atas tuduhan cuba membunuh isterinya, Farah Md Isa dan mencederakan pengawal peribadi mangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 14 April lalu. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, Instagram dan Telegram