SUSPEK lelaki yang melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Sepang, Selangor pada 14 April lalu mengakui masih menyayangi isterinya.
Hafizul Harawi, 38, berkata demikian ketika dalam perjalanan masuk ke Mahkamah Majistret Kota Bharu, Kelantan pada Isnin bagi proses sambung reman iaitu selama lima hari bermula Selasa hingga 27 April ini.
BACA LAGI: Tembak KLIA: Saya perlukan 7 peguam, kata suspek lepas direman seminggu bermula Selasa
Hafizul (kiri) dilaporkan masih sayang kepada Farah (kanan) selepas kejadian itu.
Hafizul juga berulang kali memaklumkan bahawa masih menyimpan rasa sayang kepada isterinya yang juga ahli perniagaan, Farah Md Isa atau lebih dikenali sebagai Farah Cie selain sempat memberi salam dan berterima kasih kepada pihak media.
"Assalamualaikum, saya masih menyayangi isteri saya, Farah Md Isa, terima kasih," katanya.
Proses sambung reman terhadap Hafizul itu dilaporkan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Terdahulu, Hafizul ditahan reman di Mahkamah Majistret Kota Bharu selama seminggu sejak 16 April hingga Isnin.
BACA LAGI: Kes tembakan KLIA1: Pengawal peribadi mula sedar lepas hampir seminggu koma
Along dilaporkan sudah sedarkan diri selepas hampir seminggu koma. — Facebook
Dalam kejadian tembakan itu, dia didakwa mahu melepaskan tembakan ke arah Farah Cie, namun tersasar dan mengenai seorang individu yang merupakan pengawal peribadi wanita tersebut.
Pengawal peribadi berkenaan, Muhammad Nur Hadith atau lebih dikenali sebagai Along terpaksa menjalani pembedahan usus selepas cedera di perut ketika menyelamatkan nyawa Farah yang juga merupakan pemilik agensi pelancongan.
Along bagaimanapun kini dalam keadaan stabil dan sudah mula sedarkan diri pada Sabtu lalu. — The Star/BENJAMIN LEE
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram