
SEORANG remaja perempuan dilaporkan maut selepas terjatuh daripada tingkat 16 sebuah kondominium yang terletak di Jalan Bantayan Minintod, Kota Kinabalu, Sabah.
Remaja perempuan yang masih belum dipastikan identitinya itu berumur dalam lingkungan belasan tahun ditemui oleh orang awam sekitar 5.30 pagi pada Ahad.
Mangsa ditemukan terjatuh di sebuah tapak letak kereta dekat kondominium tersebut.
BACA LAGI: [VIDEO] Rantai motor terputus, 'rider' maut langgar pembahagi jalan di Sedenak
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda mengesahkan kejadian terbabit.
Katanya, mangsa yang berusia belasan tahun dikatakan mengalami masalah kemurungan berikutan kematian bapa kandungnya tahun lalu.
"Polis menerima makluman kejadian pada pukul 6.30 pagi dan mengikut laporan, seorang pengawal keselamatan yang sedang bertugas di perumahan berkenaan terdengar bunyi dentuman kuat.
"Bunyi berkenaan dipercayai jatuhan sesuatu dari tempat tinggi yang terkena sebuah kereta di kawasan parkir perumahan berkenaan.
"Sebaik melakukan pemeriksaan, pengawal keselamatan terbabit menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri dan terus membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan media pada Ahad.
Jelas Kasim lagi, mangsa disahkan meninggal dunia oleh Dr Fatin Nadzirah Awang Damit dari Hospital Queen Elizaberth ll (HQE II), Kota Kinabalu yang turut hadir membantu di lokasi.
"Berdasarkan siasatan awal, mangsa tinggal bersama keluarga angkat sejak ayahnya meninggal dunia pada Mei tahun lalu.
Katanya, penjaga turut menyatakan kebelakangan ini mangsa menunjukkan tanda-tanda kemurungan disebabkan kematian ayahnya.
"Ketika kejadian penjaga menyedari mangsa mengurung dirinya dalam bilik. Malah selepas berjaya membuka pintu bilik, penjaga turut menemui kesan darah dan sebilah pisau di atas lantai bilik mangsa.
"Mayat mangsa kemudian dihantar ke HQE untuk tindakan lanjut," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram