Kes tembak KLIA: Sebutan semula kes pemilikan senjata api Hafizul Hawari 11 Ogos depan


Pada 24 April lalu, Hafizul mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas tujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata api.

MAHKAMAH Sesyen di Kota Bharu, Kelantan pada Ahad menetapkan 11 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes seorang pengurus syarikat agensi pelancongan yang didakwa atas tujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata api.

Hakim Zulkifli Abllah memaklumkan tarikh berkenaan adalah untuk pengurusan kes dan status permohonan tertuduh Hafizul Hawari, 38, untuk dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Sepang.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad.

Peguam Nik Mohd Faris Syazwan Zainuzzaman berkata prosiding pada Ahad itu adalah sebutan semula kes, namun pihaknya belum mendapat keputusan berhubung permohonan dibuat.

BACA LAGI: Johor bukan rakan kongsi istimewa seperti Sabah dan Sarawak — Pakar Perlembagaan

BACA LAGI: Rafizi, Isham individu tepat berdebat, selesai polemik rasionalisasi subsidi bahan api — Penganalisis

Semasa prosiding berkenaan, Nik Mohd Faris Syazwan memohon untuk memindahkan kes ke Mahkamah Sepang, Selangor kerana anak guamnya berdepan dengan pertuduhan lain di Selangor, melibatkan kes cubaan membunuh.

"Tertuduh kini ditahan reman di Penjara Sungai Buloh dan kami menunggu kes ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Sepang, Selangor," katanya.

Pada 24 April lalu, Hafizul mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas tujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata api.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa memiliki senjata api jenis pistol Glock 19 Austria, Made in Turkiye yang menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat minimum enam kali, jika sabit kesalahan.

2642044

Hafizul mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang atas dakwaan cuba membunuh isterinya di Balai Ketibaan Antarabangsa Aras 3, Terminal 1, KLIA pada pukul 1.09 pagi, 14 April tahun ini.

Dia juga didakwa memiliki 33 butir amunisi PMC 380 AUTO tanpa lesen yang sah mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960, boleh dihukum di bawah Seksyen 8 akta sama dan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan ketiga Hafizul dituduh memiliki satu bungkusan plastik cerah mengandungi mercun bola tanpa permit mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan boleh dihukum di bawah akta sama membawa kepada hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan keempat hingga keenam, tertuduh didakwa memiliki tiga kad pengenalan milik tiga individu berbeza mengikut Peraturan 25(1)(o) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990, yang boleh dipenjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya.

Pertuduhan ketujuh pula, Hafizul didakwa memandu kereta jenis Honda Civic berwarna putih yang menggunakan nombor pendaftaran palsu mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda minimum RM5,000 dan maksimum RM20,000 atau penjara minimum setahun dan maksimum lima tahun atau kedua duanya sekali.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan dalam kereta terbabit di pekarangan sebuah hospital swasta di Kota Bharu pada 15 April lepas, pukul 2 petang,

Selain tujuh pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Hafizul pada 25 April lalu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang atas dakwaan cuba membunuh isterinya, Farah Md Isa, 38, di Balai Ketibaan Antarabangsa Aras 3, Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 1.09 pagi, 14 April tahun ini.

Dia juga didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas pengawal peribadi isterinya itu, Mohd Nur Hadith Zaini, 38, dengan menggunakan pistol yang boleh menyebabkan kematian pada lokasi, tarikh dan masa yang sama. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram