[VIDEO] Mabuk, provokasi punca pekerja Nepal maut ditikam 5 lelaki di kilang Batu Pahat — Polis


  • 112
  • Ahad, 16 Feb 2025

Tangkap layar kes pergaduhan membabitkan sekumpulan warga asing di Batu Pahat.

TEMPOH reman terhadap lima warga asing termasuk suspek utama yang disyaki menikam rakan sekerja dengan pisau hingga maut di sebuah kilang dekat Sri Gading, Batu Pahat, Johor dilanjutkan tujuh hari.

Perintah lanjutan reman dikeluarkan Majistret Arun Noval Dass terhadap semua suspek berusia 22 hingga 27 tahun bermula Isnin sehingga Ahad depan.

Ia membolehkan polis melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas seorang pekerja kilang warga asing berusia 30 tahun ditemui mati akibat ditikam rakan sekerja di asrama pekerja di Kawasan Perindustrian Sri Gading, pada 9 Februari lalu.

BACA LAGI: [VIDEO] Warga asing bergaduh di kilang Batu Pahat, pekerja Nepal maut ditikam 5 lelaki

BACA LAGI: Gelang emas Norshamira digadai RM30,000, pekerja kedai pajak ditahan di Kuala Terengganu — Polis

Menurut Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, kejadian itu tercetus daripada provokasi membabitkan sekumpulan pekerja warga asing pada pukul 11.30 malam.

"Suspek bekerja sebagai operator kilang ditikam beberapa kali di badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Hasil bedah siasat oleh pakar patologi forensik Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan kecederaan dalaman akibat ditikam objek tajam.

"Dalam kejadian ini, suspek utama berusia 24 tahun ditahan bersama empat yang lain bagi membantu siasatan berhubung insiden terbabit.

"Polis turut menemui senjata digunakan dan barang kes itu dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Terdahulu, media melaporkan lelaki warga Nepal ditemui mati selepas ditikam rakan sekerja dalam satu pergaduhan.

Sebelum kejadian, mereka pulang dalam keadaan mabuk sebelum suspek melakukan provokasi yang menyebabkan berlaku perselisihan dan kemuncaknya apabila mangsa membaling basikal ke arahnya.

Tidak puas hati dengan tindakan mangsa, suspek mengambil sebilah pisau lalu menikam belakang, perut dan pinggang hingga mangsa maut di lokasi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram