
DIANGGAP idea tak masuk akal termasuk diperkecilkan kenalan terdekat sama sekali tidak melunturkan azam Nosya Zainal, 38, dan suaminya, Idham Adnan Jamil, 53, mengusahakan jenama aiskrim premium sejak 2019.
Perniagaan beroperasi di Jenjarom, Bandar Saujana Putra, Kuala Langat, Selangor itu dicetuskan Idham Adnan, yang beralih daripada dunia korporat kepada keusahawanan.
Berkongsi kepada Majoriti, Nosya memberitahu, meski tidak mempunyai sebarang latar belakang dalam pembuatan aiskrim, berbekalkan semangat dan keazaman tinggi, mereka berusaha merealisasikan impian tersebut.
BACA LAGI: Tempias trend boikot beri 'keuntungan' buat Zlay, pelanggan beralih jenama lokal
BACA LAGI: Marion, Raline penghias koleksi raya Rhapsody, Alia Bastamam rai sedekad perjalanan dalam industri
Aiskrim premium berkualiti tinggi itu dihasilkan tanpa sebarang bahan pengawet.
“Kami bermula daripada kosong tanpa pengalaman dalam pembuatan aiskrim.
"Namun kita berterusan mengkaji pasaran dan memperbaiki produk sehingga berjaya menghasilkan sesuatu yang benar-benar berkualiti tinggi.
"Kami tidak mengambil sebarang pinjaman bank untuk memulakan perniagaan ini kerana enggan terikat dengan mana-mana institusi kewangan," katanya yang menggunakan hasil simpanan sendiri untuk menubuhkan perniagaan.
Namun akui ibu kepada dua anak itu, cabang kerjaya baharu tersebut bukanlah mudah.
Pada awal penubuhan, mereka menjalankan perniagaan di bawah jenama lain bersama seorang rakan kongsi.
Malangnya selepas pandemik Covid-19 melanda, pasangan suami isteri itu diuji apabila rakan kongsi tersebut mengkhianati kepercayaan dan menyebabkan mereka kehilangan perniagaan yang telah dibina dari awal.
"Kami terpaksa bawa perkara ini ke mahkamah dan Alhamdulillah, keputusan berpihak kepada kami.
"Selepas pengalaman pahit tersebut, kami bangkit semula dengan menubuhkan jenama Sejux dan sejak itu, kami terus berusaha membina jenama ini daripada bawah," tambah Nosya.
Nosya (dua dari kiri) menyertai pelbagai pameran perniagaan dalam usaha memperkenalkan jenama Sejux.ice cream.
Dalam usaha memperkenalkan jenama Sejux kepada pengguna, ujar Nosya, mereka menyertai pelbagai pameran dan program perniagaan, termasuk yang dianjurkan oleh kerajaan negeri Selangor.
Melalui platform itulah, Nosya dan Idham Adnan berjaya menarik perhatian ramai seterusnya memperoleh kepercayaan pelanggan terhadap produk premium mereka.
Menyediakan aiskrim premium berkualiti tinggi, Pengarah Pemasaran Duyung Abadi Sdn Bhd itu memberitahu, produk mereka dihasilkan tanpa sebarang bahan pengawet, pewarna tiruan atau alkohol selain menggunakan susu segar serta krim import dari Itali.
“Formula aiskrim ini direka khas oleh suami saya sendiri dan kami hanya menawarkan perisa terbaik yang menjadi kegemaran ramai di peringkat antarabangsa.
"Buat masa ini, terdapat lima perisa yang ditawarkan termasuk dua perisa yang sangat popular iaitu butter pecan, Callebaut Belgian Chocolate dan kopi.
"Selain itu, kami turut menawarkan perisa oreo and cream dan vanilla untuk memenuhi cita rasa pelanggan yang lebih pelbagai,” jelasnya menambah aiskrim tersebut boleh didapati melalui platform jualan dalam talian mereka.
Sejux dihasilkan menggunakan susu segar serta krim import dari Itali.
Kecaman
Akui usahawan yang juga akautan itu, membangunkan sebuah bisnes tidak pernah mudah, terutama apabila menghadapi komen-komen negatif daripada kenalan sekeliling.
Kongsi Nosya, salah satu cabaran terbesar yang dihadapinya adalah reaksi orang ramai, terutamanya komen-komen daripada individu terdekat yang sering kali meragui bisnes yang diusahakan.
"Antara komen yang masih terngiang-ngiang di telinga adalah yang meragui kemampuan bisnes kami untuk berjaya. Ada yang pernah kata bahawa idea ini gila dan tidak akan berjaya pun.
"Tidak kurang yang menyatakan tiada orang pun nak beli aiskrim mahal-mahal ni. Rakyat Malaysia bukannya mampu.
"Agak menyedihkan apabila komen sebegitu datang daripada kawan dan juga saudara-mara," ceritanya.
Tidak dinafikan, segala kritikan diterima pernah membuatkan pasangan suami isteri itu ingin menyerah.
Namun, satu faktor penting yang memotivasikan mereka untuk terus bertahan adalah sokongan daripada salah seorang rakan kongsi yang berasal dari Arab Saudi.
Jelasnya, rakan kongsi tersebut telah merasai sendiri keenakan aiskrim mereka dan berkongsi pengalaman positif itu.
Nosya dan Idham Adnan bakal membuka premis fizikal di pusat beli-belah di ibu kota, dalam masa terdekat.
"Lebih menggembirakan, kami mendapat maklum balas positif bahawa ada pihak berminat untuk membawa produk ini ke negara Arab kerana penduduk di sana amat gemar menikmati aiskrim.
"Pelanggan juga ada yang menyuarakan minat untuk membuka francais, menandakan potensi besar bagi Sejux.
"Saya anggap semua ini petunjuk yang datang daripada Allah, memberikan dorongan untuk kami terus berusaha," katanya yang bakal membuka premis fizikal di pusat beli-belah di ibu kota, dalam masa terdekat.
Kini jenama Sejux.ice cream terus berkembang, bukan sahaja melalui penjualan dalam talian dan pembekal terpilih tetapi juga menerusi kerjasama dengan jenama besar.
Terbaharu menurut Nosya, mereka telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Gloria Jean’s Coffees, sekali gus membuktikan kepercayaan pasaran terhadap produk bumiputera tersebut.
Menyasarkan untuk menubuhkan tiga cawangan fizikal dalam tempoh lima tahun akan datang, Nosya meluahkan harapan agar jenama berkenaan menjadi salah satu syarikat bumiputera yang menghasilkan produk aiskrim premium terbesar di dunia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram