
PADA usia 12 tahun, Sophie Chan Yan Ching sudah bersiap sedia menghadapi peperiksaan Matematik A-Level pada Oktober depan.
Jika kebanyakan kanak-kanak seusianya menganggap angka dan nombor satu halangan, tidak bagi Sophie yang menyimpan banyak kenangan manis sepanjang perjalanan akademiknya.
Terbaharu, Sophie memperoleh A+ dalam Matematik Lanjutan pada peperiksaan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) yang diambil pada Januari lalu.
BACA LAGI: Diskriminasi, stereotaip, ketidakseimbangan gender masih cabaran utama pemimpin muda wanita negara
BACA LAGI: Wanita muda berilmu bijak buat keputusan sebagai pemimpin cekap, pendidikan agenda utama Izzana
Kejayaan itu dikaitkan dengan sokongan padu ibunya yang sentiasa berada di sampingnya.
"Semenjak berusia dua tahun, ibu sudah mula mengajar saya asas-asas seperti cara mengira. Secara perlahan, beliau mengajar saya penambahan, penolakan, membaca dan memperkenalkan dunia kepada saya.
"Ibu juga menghantar saya ke kelas abacus, yang sangat membantu dalam mengasah kemahiran matematik mental saya," ujarnya.
Tambah Sophie lagi, sokongan dan dorongan ibu bapanya adalah faktor penting dalam pencapaian tersebut.
Katanya, tanpa ibu dirinya pasti tidak mampu untuk pergi jauh dalam akademik mahupun kehidupan.
Sophie juga berterima kasih kepada bapanya yang banyak memberikan sokongan sepanjang dirinya membesar.
Sophie merancang untuk menduduki peperiksaan IGCSE dalam subjek sains lebih awal.
Antara pencapaian hebat diraih Sophie termasuk memenangi Pertandingan Matematik Tahun Enam Association of International Malaysian Schools (AIMS) pada 2023 dan menerima Merit di Olimpik Matematik Junior 2024.
Baginya, dunia matematik lebih daripada sekadar nombor. Sophie percaya bahawa pelajar perlu digalakkan untuk berfikir di luar kotak apabila menyelesaikan masalah matematik.
"Matematik adalah luas dan kompleks. Setiap hari membawa cabaran baharu dan itulah yang memotivasikan saya.
"Kebanyakan masalah matematik boleh diselesaikan dengan pelbagai kaedah yang berbeza.
"Dengan berfikir secara kreatif, saya dapat mempertingkatkan kemahiran matematik dan berjaya dalam subjek ini," tambahnya.
Walaupun cemerlang dalam bidang matematik, Sophie juga merancang untuk menduduki peperiksaan IGCSE dalam subjek sains lebih awal.
Beliau bercita-cita melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan, dengan pengkhususan sebagai pakar bedah saraf suatu hari nanti.
"Saya amat berminat dengan sains dan mahu membantu orang lain melalui kerjaya ini," katanya.
Selain matematik, Sophie juga aktif dalam muzik dan sukan. Beliau baru-baru ini memperoleh kecemerlangan dalam peperiksaan piano ABRSM Tahap Tujuh dan merancang untuk menduduki peperiksaan biola Tahap Tujuh pada penghujung tahun ini.
Dalam bidang sukan pula, Sophie yang merupakan bekas gimnas kini mula mengasah bakatnya dalam golf selain meluangkan masa untuk balet.
"Saya belajar golf melalui latihan mingguan dan bermain dengan ayah di padang. Saya juga telah menyertai beberapa pertandingan golf," ujarnya.
Bagi Sophie, perjalanan gimnastiknya memberi banyak pengalaman berharga.
Beliau bermula dengan gimnastik artistik pada usia lima tahun dan kemudian mempelajari gimnastik ritmik sebelum kembali kepada artistik ketika berumur 10 tahun.
Untuk terus termotivasi, Sophie merujuk kepada ibunya yang sentiasa memberi inspirasi dan sokongan.
"Ibu selalu memberi nasihat dan membimbing saya untuk terus maju. Ia penting untuk memberi diri kita rehat ketika terlalu tertekan," katanya. — The Star//LEONG WENG SAM
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram