Dari kecil jarang masuk dapur, bekas juruukur bahan kini miliki 'central kitchen' sendiri bekalkan kek sekitar Lembah Klang


  • Bizz
  • Khamis, 12 Dis 2024

Perniagaan Norazrina semakin mendapat perhatian sehinggalah kek buatannya dipilih oleh beberapa kafe terkemuka di sekitar Putrajaya dan Lembah Klang.

LEBIH 20 tahun berkhidmat sebagai juruurukur bahan, Norazrina Mohd Ariffin sama sekali tidak menyangka dirinya kini 'terjebak' dengan dunia pembuatan kek.

Tak pernah terbayang dek wanita ini, dia yang sebelumnya langsung tidak pernah menyentuh peralatan kek kini menjadi antara pembekal pencuci mulut di beberapa kafe terkemuka di ibu kota.

Segalanya bermula ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Penutupan kebanyakan premis perniagaan termasuk bakeri menyebabkan Norazrina buntu saat anaknya yang berusia 10 tahun ketika itu menyuarakan keinginan untuk menjamah kek.

BACA LAGI: 'Usaha tidak khianati hasil', persepsi negatif tak jadi penghalang Faeeza Noor sukses buka butik pakaian, aksesori di Semenyih

BACA LAGI: 'Usaha tidak khianati hasil', persepsi negatif tak jadi penghalang Faeeza Noor sukses buka butik pakaian, aksesori di Semenyih

WhatsApp Image 2024-12-11 at 13.26.16

Mango cheesecake antara kek yang mendapat sambutan dalam kalangan pelanggan.

Demi menunaikan hasrat putera bongsu kesayangan yang kebosanan akibat 'terkurung' di dalam rumah, bekas juruukur di anak syarikat milik penuh Lembaga Tabung Haji itu akhirnya memutuskan untuk belajar cara membuat kek menerusi saluran YouTube.

"Anak suka makan kek, tapi saya sejujurnya langsung tidak pernah buat kek seumur hidup, sentuh alat seperti mesin pengadun kek pun tak pernah, apatah lagi nak baking (membakar).

"Namun demi memenuhi permintaan anak, saya cuba buat kek Batik Indulgence berdasarkan resipi daripada YouTube.

"Alhamdulillah menjadi dan saya saja-saja kongsi gambar kek tersebut di media sosial sendiri dan memang ramai yang memberi reaksi terkejut,” katanya kepada Majoriti.

Dikenali dengan perwatakan 'kasar' sejak kecil, apatah lagi memegang status sebagai anak bongsu daripada tujuh beradik, Norazrina mengakui, memasak bukanlah satu aktiviti yang diminatinya.

Ditambah kesibukan dan tuntutan kerja yang menyebabkan dia jarang ke dapur.

"Orang kenal saya memang jarang masak, membuat kek jauh sekali, jadi apabila saya muat naik gambar kek, ramai yang kagum dan ada juga yang sukar nak percaya.

"Namun dari situ rakan-rakan dan jiran mula ambil tempahan. Saya pun belajar buat kek dengan lebih serius, sebab nak berniaga kan.

"Disebabkan saya berpengalaman dalam bidang pengukuran, jadi dari situ kita guna kepakaran yang ada untuk R&D (penyelidikan dan pembangunan) kek lain sesuai selera orang ramai," tutur ibu dua anak itu.

WhatsApp Image 2024-12-11 at 12.55.24

Keluarga banyak memberi sokongan kepada Norazrina (tiga dari kiri) untuk mengembangkan bisnes.

Di sebalik kejayaan wanita kelahiran Ipoh, Perak ini, terdapat sokongan teguh susuk seorang suami, Md Nazri Sahadan, 45, yang menjadi tulang belakang dalam perjalanannya.

Bermula pada 2020, perniagaannya semakin mendapat perhatian sehinggalah kek buatannya dipilih oleh beberapa kafe terkemuka di sekitar Putrajaya dan Lembah Klang untuk menjadi sebahagian daripada menu di premis tersebut.

"Suami yang juga seorang kontraktor pereka dalaman banyak membantu dari segi memperkenalkan hasil tangan saya kepada beberapa pemilik kafe yang pernah bekerjasama dengannya.

"Kini di bawah jenama Aeina Signature, saya mengembangkan produk sehinggalah berupaya menubuhkan dapur pusat berlokasi di Pusat Dagangan Hillpark, Puncak Alam, Selangor bagi menghasilkan pencuci mulut untuk beberapa kafe.

"Selain kek, saya juga menjual hidangan makanan siap dimakan (RTE) seperti pasta dan nachos di gerai sekitar kawasan universiti dan untuk beberapa acara," katanya yang mengambil keputusan berhenti kerja pada 2022 untuk memberi fokus pada bisnes.

Usahawan tersebut turut berkongsi, setiap hari dia perlu memastikan bahawa hasil jualannya mencecah RM800 bagi menampung kos operasi termasuk overhead dan pembayaran gaji pekerja.

Jelasnya, dalam sehari, kira-kira 30 hingga 40 peratus pengeluaran adalah kek, manakala selebihnya merupakan produk RTE.

Mengulas tentang perancangan masa depan, Norazrina memberitahu, dia masih belum ada perancangan untuk membuka kafe sendiri buat masa ini.

"Sebaliknya, saya nak lebih fokus pada dapur pusat dan bersedia membekalkan produk kepada pihak lain untuk dijual menggunakan jenama mereka sendiri.

"Perniagaan kecil-kecilan seperti ini bukan sahaja memerlukan ketekunan tetapi juga kecekapan dalam menangani cabaran harian.

"Saya berharap perniagaan ini terus berkembang dan menjadi pilihan utama pelanggan," bicaranya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram