![](https://apicms.majoriti.com.my/uploads/images/2025/02/06/3153788.jpeg)
KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) membatalkan notifikasi lima produk kosmetik selepas dikesan mengandungi racun berjadual dan tidak lagi dibenarkan dijual di Malaysia.
KKM dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan, produk berkenaan ialah Molly Care Night Cream dan Karisma Brightening Day Cream masing-masing mengandungi merkuri dan produk Ufora Advance Repair Solution kerana kandungan hidrokuinon.
Turut dmasukkan dalam senarai ialah Pinkkiss Beauty Care Herbal Cream yang mengandungi merkuri dan betamethasone 17-valerate sementara Pinkkiss Beauty Care Treatment Cream dikenal pasti mengandungi hidrokuinon, tretinoin serta betamethasone 17-valerate.
BACA LAGI: Akui suka perhatian, Leona kekal positif, tak pernah ambil hati komen negatif
Pengguna perlu berwaspada menggunakan produk kecantikan kerana kandungan bahan terlarang risiko merosakkan kulit wajah. — Gambar hiasan
"Susulan itu, notifikasi produk kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Perkhidmatan Farmasi, KKM.
"Orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik tersebut dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers," katanya.
Dalam perkembangan sama, KKM menjelaskan, penjual dan pengedar produk terlibat perlu menghentikan penjualan serta pengedarannya serta-merta kerana melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Produk yang mengandungi hidrokuinon, tretinoin dan betamethasone 17-valerate adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan kerana penggunaannya tanpa pengawasan boleh menyebabkan kesan sampingan tidak diingini.
"Hidrokuinon menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini dan kulit menjadi hipersensitif manakala tretinoin mengakibatkan kulit menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.
"Penggunaan betamethasone 17-valerate pula boleh mengakibatkan kulit menjadi nipis, iritasi dan berjerawat," maklum kenyataan itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram