PAYMENTS Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet) melangkaui sekadar amalan mesra alam dan tanggungjawab sosial korporat dengan memberi tumpuan kepada impak sosial yang berkekalan menerusi program PayNet Cambah.
Meskipun konsep alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) masih baharu dalam dunia korporat tempatan, PayNet mengambil pendekatan proaktif melalui PayNet Cambah bagi mewujudkan komuniti perniagaan kecil mampan dalam kalangan golongan kurang berkemampuan yang tidak mempunyai akses pada perkhidmatan kewangan formal.
Sebagai sebahagian pendekatan dua hala bersama program PayNet Akar yang memfokuskan pembangunan bakat celik pembayaran digital, PayNet Cambah bekerjasama dengan sektor swasta termasuk perusahaan sosial, fintech dan syarikat pemula impak bagi membekalkan kemahiran asas dalam literasi kehidupan, digital serta kewangan kepada peserta.

Para peserta yang menghadiri pada Majlis Graduasi Ibu-Ibu Suri.
Selepas menerima latihan, perniagaan kecil akan didigitalkan bagi membolehkan mereka meneroka peluang pasaran baharu menerusi e-dagang, jualan dalam talian di samping meningkatkan kehadiran digital.
Menurut Pengarah Kanan PayNet yang juga Ketua Strategi dan ESG, Azleena Idris, ESG bukan sekadar keperluan pematuhan tetapi peluang menyokong komuniti kurang bernasib baik untuk keluar daripada kemiskinan.
Kerjasama
Di Langkawi, PayNet Cambah melaksanakan dua projek utama.
Projek pertama adalah melatih 100 ibu daripada golongan marginal dalam kemahiran menjahit serta literasi digital dan kewangan.
Dengan kerjasama perusahaan sosial, Suri, mereka mengitar semula linen terpakai dari resort mewah kepada produk fesyen mesra alam.
Perusahaan sosial tersebut bertujuan membolehkan para ibu menjual hasil ciptaan mereka secara dalam talian melalui laman web yang ditaja oleh PayNet, di butik-butik di resort terpilih di Langkawi, atau di kedai mereka sendiri.

PayNet Cambah memupuk komuniti perniagaan kecil yang tidak mempunyai akses perkhidmatan kewangan formal.
Usaha ini bukan sahaja menyelamatkan hampir enam tan kain daripada dibuang ke tapak pelupusan, tetapi juga memberi sumber pendapatan baharu kepada peserta.
Projek kedua memberi tumpuan kepada 34 perniagaan kecil dalam sektor pelancongan dengan kesedaran kelestarian, termasuk latihan dalam kemahiran pembayaran digital.
Projek tersebut mencapai kemuncaknya menerusi acara Pasar Kitar Cashless, yang mana gerai mesra alam diperbuat daripada buluh dan mengkuang digunakan sepenuhnya.
Di Batu Pahat, PayNet memperluas PayNet Cambah dengan memberi tumpuan kepada komuniti B40.
Dengan kerjasama sebuah perusahaan sosial diketuai pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan beberapa agensi sektor awam, program itu membantu perniagaan kecil mendapatkan latihan dalam kemahiran digital, pembungkusan makanan, pengurusan kewangan dan jualan dalam talian.

Azleena berkata, PayNet berhasrat menjalankan sekurang-kurangnya satu projek PayNet Cambah di setiap wilayah.
Projek tambahan
Susulan kejayaan di Langkawi dan Batu Pahat, PayNet merancang untuk melancarkan empat projek tambahan di Sabah dengan fokus kepada pemasaran makanan organik secara langsung.
Menjelang suku kedua tahun hadapan, PayNet Cambah akan diperluaskan ke Pantai Timur dengan kerjasama sebuah universiti tempatan dan perusahaan sosial yang diketuai pelajar.
"PayNet berhasrat menjalankan sekurang-kurangnya satu projek PayNet Cambah di setiap wilayah, dengan matlamat akhir meliputi semua negeri di Malaysia.
“Jika kami tidak melaksanakan inisiatif ini, ramai akan terus ketinggalan dan mandat kami tidak akan tercapai,” tegas Azleena. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
