![](https://apicms.majoriti.com.my/uploads/images/2025/01/31/3145259.png)
PERSEPSI bahawa wanita India sukar mencapai kejayaan dalam bidang perniagaan kini ditepis sedikit demi sedikit apabila ramai bergelar usahawan berjaya sehingga sebahagian daripada mereka memperoleh pendapatan mencecah jutaan ringgit.
Dengan memanfaatkan pelbagai platform media sosial secara maksimum, golongan tersebut bukan sahaja berhasil membina empayar perniagaan sendiri, malah turut membuka peluang kepada wanita lain menjana pendapatan lumayan.
Salah seorang usahawan berjaya, Sailajah Selveekam, 38, yang memulakan perniagaannya pada 2013 menjual produk secara dalam talian.
Kini beliau yang merupakan pemilik sebuah syarikat mencatatkan perolehan jualan sebanyak RM8.7 juta dua tahun lalu dalam bidang produk kesihatan dan kosmetik.
Hari ini perusahannya mempunyai lebih 10,000 stokis dan ejen jualan yang sebahagian besar memasarkan produk melalui media sosial.
“Visi saya adalah untuk melahirkan 1,000 wanita jutawan dan untuk mencapai matlamat ini, saya menjalankan program latihan serta kelas percuma setiap minggu,” katanya.
Sailajah mengakui gembira menyaksikan kejayaan wanita di luar sana mencapai kebebasan kewangan melalui perniagaannya.
“Mereka memperoleh pendapatan lumayan dan mampu memberikan yang terbaik untuk anak-anak mereka.
"Ada yang mampu menghantar anak ke sekolah swasta dan membeli kereta dan rumah sendiri,” ujarnya menyambut ulang tahun ke-11 Sailajah Empire tahun ini.
Sailajah menyambut ulang tahun ke-11 Sailajah Empire pada tahun ini. — Instagram/maharani.of.brand.sailajah
Menurut usahawan itu lagi, sebahagian ejen jualannya sebelum ini menganggap diri tidak berguna dan tidak dihargai, sehinggalah mereka mula menjana pendapatan sendiri.
Malah, beberapa ejen berasal daripada latar belakang sederhana dengan pendidikan minimum, menjadikan kebebasan kewangan sebagai satu pencapaian besar bagi mereka.
“Kami mempunyai individu berpendapatan tinggi yang hanya tamat sekolah hingga darjah enam dan tidak pernah bersekolah menengah.
"Salah seorang stokis kami mencapai jualan tahunan RM1 juta secara berturut-turut selama tiga tahun,” tambahnya.
Sailajah gembira menyaksikan kejayaan wanita dalam mencapai kebebasan kewangan melalui perniagaannya.
Sokongan dan bimbingan
Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Kuala Lumpur dan Selangor (KLSICCI), Nivas Ragavan berkata, usahawan celik media sosial seperti Sailajah antaranya membantu wanita daripada golongan B40 dan M40 menjadi usahawan dari rumah menjana pendapatan lumayan.
“Mereka juga mencipta ekosistem usahawan perniagaan mikro dengan menyediakan kapasiti pemasaran dan latihan,” katanya.
Beliau turut menggesa usahawan dari rumah mendaftarkan perniagaan dan mengekalkan sistem perakaunan yang betul bagi meningkatkan kelayakan kredit supaya dapat mengembangkan perniagaan lebih jauh.
“Apabila kerajaan melancarkan pelbagai skim pembiayaan mikro dan pinjaman, mereka akan layak untuk memohon,” tambahnya.
Nivas turut menambah wanita-wanita berkenaan dialu-alukan untuk mendapatkan nasihat dan bimbingan daripada KLSICCI bagi memastikan perniagaan terus berkembang maju. — The Star/WANI MUTHIAH
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram