[VIDEO] 'Saya penggeli, tak suka urus darah', pakar prostodontik kongsi pengalaman, asalnya nak jadi guru


  • Bizz
  • Selasa, 28 Jan 2025

Dr Kamsiah terus menjadi peneraju dalam pergigian kosmetik di Malaysia dengan mengambil pendekatan yang bersesuaian dengan keperluan pesakit.

BERDIRI kukuh hampir 30 tahun dalam industri, Klinik Pakar Pergigian Dr. Kam hanya ada satu di Malaysia.

Saat pengamal perubatan lain bersaing untuk membuka lebih banyak rangkaian klinik, perspektif berbeza diambil oleh Dr. Kamsiah Gulam Haider.

Pemilik Klinik Pakar Pergigian Dr. Kam beroperasi di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) Kuala Lumpur mengakui, premis yang beroperasi sejak 1996 itu menyimpan nostalgia tersendiri.

BACA LAGI: [VIDEO] Pertama di Malaysia, idea suami isteri kreatif realisasi Airbnb 'kelapa' terapung di Langkawi

BACA LAGI: Tak sanggup anak terus derita ekzema, wanita keturunan Melanau cipta sabun natural, dapat perhatian pelanggan Jepun dan AS

Kepada Majoriti, wanita berdarah campuran Melayu-Pakistan ini menceritakan perjalanan inspiratifnya sepanjang bergelar doktor gigi.

Selepas memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pergigian Pembedahan (BDS) di Universiti Malaya (UM), pada 1987, Dr. Kamsiah atau mesra disapa Dr. Kam memulakan kerjaya sebagai tutor dan pensyarah di Fakulti Pergigian UM selama lapan tahun.

Beliau kemudian melanjutkan pelajaran ke University of Dundee, Scotland, United Kingdom (UK) dalam bidang pergigian geriatrik dan prostetik, diikuti kursus implan pergigian di University of Gothenburg, Sweden.

Di situ, wanita berusia 62 tahun ini berkesempatan menimba ilmu di bawah kendalian Profesor Branemark, iaitu seorang pemenang Hadiah Nobel yang mencipta skru implan.

Pengalaman diteruskan dengan pengajian Fixed Prostodontic di University of Western Australia bersama pakar pergigian terkemuka, Profesor Patrick Henry.

Selepas menyedari kekurangan doktor wanita Melayu yang memiliki klinik pergigian di ibu kota pada pertengahan 1990-an, Dr. Kamsiah mengambil langkah berani dengan membuka klinik kendaliannya sendiri pada 1996.

WhatsApp Image 2025-01-27 at 16.48.16

Dr. Kam memiliki lebih tiga dekad pengalaman dalam bidang pergigian prostodontik.

"Keputusan ini juga didorong oleh permintaan tinggi terhadap teknologi implan pergigian, yang ketika itu masih baharu di Malaysia.

“Pada masa itu negara kekurangan doktor wanita, khususnya perempuan Melayu yang memiliki klinik di Kuala Lumpur.

"Saya bernasib baik kerana mendapat sokongan daripada rakan-rakan doktor pakar dan mentor dari luar negara, yang memberi galakan serta membantu dalam proses membuka klinik,” jelasnya mengimbau perjalanan awal karier.

Tambahnya, teknologi implan pergigian yang masih baharu di Malaysia pada ketika itu memberikan peluang besar untuk perniagaan ini berkembang.

Beliau merupakan antara individu pertama yang mempelopori teknik implan pergigian di Malaysia bersama rakan doktor di Hospital Besar Kuala Lumpur.

“Kami berdua pergi ke University of Gothenburg untuk belajar dengan Profesor Branemark,” katanya.

6105092258471723964

Dr. Kamsiah sentiasa mencari peluang memperbaiki kemahiran dan teknologi untuk kepuasan pelanggan.

Penggeli

Dengan sejarah pendidikan dan pencapaian luar biasanya, siapa sangka ibu kepada lima anak itu pada mulanya sama sekali tidak berhasrat untuk menjadi doktor gigi.

Beliau sebaliknya lebih meminati profesion sebagai pendidik.

"Sebenarnya saya tak berminat langsung (nak jadi doktor gigi). Saya masuk universiti untuk belajar kimia dan matematik sebab bercita-cita nak jadi cikgu.

"Namun, selepas tamat belajar di Pusat Asasi Sains Universiti Malaya, keluarga dan pensyarah galakkan saya untuk memilih sama ada buat perubatan ataupun pergigian," kongsinya.

Ditanya punca dirinya tidak berminat untuk beramal sebagai doktor pergigian, Dr Kamsiah mengakui dirinya adalah seorang yang penggeli.

Beliau bagaimanapun memberitahu, keputusan menceburi bidang tersebut adalah lebih kepada tertarik dengan keunikan teknologinya yang melibatkan fizik dan kimia.

“Sebab itu jugalah pada awalnya selepas bergraduasi, saya terus jadi pensyarah. Saya seorang penggeli, tak nak cabut gigi atau berurusan dengan darah.

"Namun minat terhadap teknologi seperti IT (teknologi maklumat) dan inovasi dalam pergigian digital mengubah pandangan saya terhadap bidang ini,” jelasnya yang kurang meminati subjek biologi.

WhatsApp Image 2025-01-27 at 15.54.46

Klinik pergigian beroperasi sejak 1996 itu menyimpan nostalgia tersendiri buat Dr. Kamsiah.

Biarpun memiliki lebih tiga dekad pengalaman dalam bidang pergigian prostodontik, Dr. Kamsiah tidak pernah berdiam diri.

Beliau sentiasa mencari peluang dan ruang untuk memperbaiki kemahiran dan menaik taraf teknologi di klinik untuk kepuasan pelanggan.

Selain prostodontik, beliau turut mempelajari ortodontik untuk memberikan pilihan lebih baik kepada pesakit.

"Dengan pengetahuan ini, kita boleh menawarkan lebih banyak pilihan kepada pesakit, terutamanya untuk kes yang rumit seperti gigi jarang atau terlalu rapat,” ujarnya.

WhatsApp Image 2025-01-27 at 15.29.32

Dr. Kam (duduk) turut mempelajari ortodontik untuk memberikan pilihan lebih baik kepada pesakit.

Kosmetik pergigian

Berkongsi lanjut tentang kosmetik pergigian, Dr. Kamsiah mengakui, prosedur tersebut terus menjadi pilihan popular, terutama dalam kalangan wanita, yang melihat senyuman menawan sebagai kunci kepada daya tarikan dan keyakinan diri.

Menurut Dr. Kamsiah, trend ini didorong oleh fenomena Hollywood Smile diilhamkan oleh senyuman ideal dimiliki selebriti Amerika Syarikat (AS), ahli politik dan atlet yang memiliki gigi putih, tersusun serta sempurna.

Jelasnya, trend berkenaan semakin meningkat seiring dengan keinginan mereka untuk tampil lebih baik dalam gambar atau acara sosial.

"Antara rawatan paling popular adalah pemutihan gigi, pemasangan veneer dan penjajaran gigi.

"Pemutihan gigi menawarkan solusi sementara untuk gigi lebih cerah, manakala veneer memberikan hasil lebih kekal dan estetik sempurna.

“Bagi gigi yang tidak tersusun, rawatan ortodontik diperlukan dahulu sebelum proses veneer dilakukan bagi memastikan hasilnya cantik dan harmoni,” jelas beliau yang turut menerima pesakit dari luar negara.

Selain gigi ujarnya, rawatan kosmetik pergigian juga memberi perhatian kepada gusi bagi memastikan senyuman kelihatan sempurna.

Bicara Dr. Kamsiah lagi, landskap pergigian estetik banyak berubah susulan perkembangan teknologi digital sejak 2015.

Penggunaan teknologi seperti Reka bentuk Senyuman Digital (DSD) menjadikan rawatan lebih tepat dan hasilnya juga konsisten.

“Sebelum ini, kita bergantung kepada teknik manual yang memerlukan banyak anggaran dan hasil adakalanya tidak seimbang.

“Dengan DSD, kita menggunakan gambar muka, membuat pengimbasan 3D dan teknologi superimpose untuk memastikan hasil rawatan estetik yang cantik serta tepat.

"Data ini dihantar ke makmal dan mereka menghasilkan reka bentuk gigi yang sangat teliti,” tuturnya yang pernah tersenarai dalam The Malaysia Book of Records atas kemenangan dalam sukan berkuda.

kam

Dr. Kamsiah terus menjadi peneraju dalam pergigian kosmetik di Malaysia.

Dr. Kamsiah menambah, Klinik Pakar Pergigian Dr. Kam merupakan antara pengguna awal DSD di Malaysia, malah diiktiraf sebagai salah satu daripada tiga klinik terbesar di dunia dalam penggunaan teknologi ini, pada 2016.

Tambah wanita berasal dari Taiping, Perak ini, klinik yang banyak menggunakan teknologi DSD adalah sebuah klinik dari AS, diikuti sebuah klinik di Brazil dan klinik Dr. Kam di Malaysia

Ujarnya, klinik beliau turut menjalin kerjasama dengan syarikat antarabangsa dari Madrid, yang menyokong inovasi dalam bidang pergigian digital.

"Saya juga merupakan individu pertama di Malaysia yang menerima gelaran Master dalam bidang DSD dan diiktiraf sebagai tenaga pengajar utama di Asia Tenggara," kongsinya yang memiliki lapan cucu.

Dengan pengalaman merangkumi aspek klinikal dan estetik, Dr Kamsiah terus menjadi peneraju dalam pergigian kosmetik di Malaysia, sambil mengutamakan teknologi dan pendekatan yang bersesuaian dengan keperluan pesakit.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram