Penganggur mengaku salah bakar 5 motosikal di Baling kena penjara 12 tahun


Tangkap layar kejadian kebakaran rumah yang berlaku di Baling sekitar Disember tahun lalu.

SEORANG penganggur dijatuhi hukuman penjara 12 tahun di Mahkamah Sesyen Baling, Kedah pada Ahad selepas mengaku salah melakukan aniaya dengan api membabitkan lima motosikal antara Disember tahun lalu dan awal Januari tahun ini.

Tertuduh, Afif Jazimin Jamaluddin, 23, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Najwa Che Mat.

Bagi pertuduhan pertama, dia mengaku bersalah membakar motosikal Honda EX5 di sebuah rumah dekat Kampung Jerai, Baling pukul 3.15 pagi, 27 Disember tahun lalu.

BACA LAGI: Sekolah agama kelolaan JAIS mulakan pendidikan STEM berasaskan al-Quran

BACA LAGI: [VIDEO] MPV mewah jadi sarang 'sang belit', ramai tertanya cara nak tahu ular 'tumpang' kenderaan

Tertuduh juga mengaku bersalah membakar motosikal jenis Modenas Kriss, Honda EX5 dan SM Sport di sebuah rumah dekat Kampung Pisang, Kupang, Baling.

Afif Jazimin kemudiannya mengaku melakukan kesalahan sama dengan membakar motosikal Modenas Kriss di sebuah rumah dekat Kampung Hangus, Kupang kira-kira pukul 3.30 pagi, 2 Januari lalu.

Kesemua pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amirul Halimi Md Salleh manakala tertuduh diwakili peguam Intan Nursyafina Baharudin.

Hakim kemudian menjatuhkan hukuman penjara empat tahun bagi setiap pertuduhan, bermula dari tarikh dia ditangkap pada 20 Januari dan memerintahkan hukuman berjalan berturut-turut.

Tertuduh ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kebakaran yang berlaku di sembilan rumah di Kupang sejak pertengahan Disember hingga awal Januari lalu.

Selain rumah, kebakaran turut memusnahkan dua kenderaan dan 18 motosikal, membabitkan kerugian berjumlah RM770,000. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram