SEPASANG suami isteri dilaporkan maut dalam kemalangan ngeri membabitkan sebuah kereta dan treler di Kilometer (KM) 3 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Kelantan pada awal pagi Sabtu.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 1 pagi itu mengakibatkan treler Scania berkenaan terbabas dan melintang menghalang laluan terbabit.
Mangsa, Muhammad Syamie Farhan Adnan, 25, dan isterinya, Nurul Syafika Anis Zulkifli, 26 maut di tempat kejadian, manakala anaknya Nur Irdina Delisha, 10 bulan dan Muhammad Izz Danial, 5, dilaporkan terselamat.
BACA LAGI: [VIDEO] Lagi kes budak baling mercun dalam lubang pembentung sampai meletup jalan, kereta
BACA LAGI: Pemandu 4WD dikhuatiri lemas, kereta terjunam longkang dalam banjir di Sibu
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, kejadian membabitkan kenderaan Perodua Myvi dan Treler Scania yang dipandu lelaki berusia 45 tahun.
Jelasnya, mangsa bersama isteri dan dua anaknya dipercayai dalam perjalanan dari arah Kuala Krai menghala ke Gua Musang.
Salam takziah.. suami isteri meninggal rempuh treler kat Gua Musang awal pagi tadi.. terbalik treler tu pic.twitter.com/Lff8eJNwhO
— CyberBorg (@borg_cyber) February 1, 2025
"Apabila tiba di lokasi kejadian, mangsa yang mengambil selekoh ke kanan jalan hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan treler.
"Pertembungan terbabit menyebabkan treler terbabas dan terbalik sehingga melintang jalan, manakala kereta mangsa terbabas ke bahu kiri jalan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Tambahnya, mangsa ditemukan tersepit bersama isterinya dalam kenderaan terbabit sebelum disahkan meninggal dunia dan dua lagi penumpang dikejarkan ke Hospital Gua Musang untuk rawatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau pada masasama meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat kejadian menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang di talian099121222 atau Pegawai Penyiasat 013-3010408 untuk membantu siasatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram