[VIDEO] MPV mewah jadi 'port' tedung selar melingkar, ramai tertanya cara nak tahu ular 'tumpang' kenderaan


  • Tular
  • Sabtu, 01 Feb 2025

Tangkap layar video memaparkan beberapa anggota bomba sedang mengeluarkan seekor ular dari dalam bonet kereta.

PENEMUAN seekor ular tedung selar di dalam bonet sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard baru-baru ini meraih perhatian ramai.

Menerusi video tular di media sosial sejak Sabtu, kelihatan beberapa anggota bomba cuba mengeluarkan ular yang berada dalam enjin kereta tersebut.

Menurut pemilik video dengan menggunakan akaun TikTok @evanurcarlissa54, kejadian itu disedari anak saudaranya yang melihat kelibat ular itu di pekarangan rumah sebelum ia melingkar masuk dari bawah kenderaan.

BACA LAGI: [VIDEO] Tiga beranak parah ditetak warga asing di Lawas, penyerang didakwa alami tekanan hidup

BACA LAGI: Shamsul Atin tumbuk jiran warga emas sampai terlantar di hospital ditahan lepas 4 hari di Kuala Selangor

Manakala, berdasarkan maklum balas yang dikongsikan oleh pemilik kereta terbabit menerusi akaun @uforaoriginal, dia menceritakan semula detik-detik ketika kejadian.

"Biasanya balik kampung kami akan parkir depan rumah mak. Tetapi disebabkan cuaca panas, suami alihkan kereta jauh sedikit dan dekat dengan tiang elektrik.

"Tiba-tiba anak buah nampak ada ular menjalar pergi kereta dan separuh badan dah masuk. Tinggal nampak ekornya sahaja.

"Selepas itu ada pula kucing datang tengok sebelum lari. Nasib baik bomba cepat datang dan terus buka bonet. Susah juga walaupun 10 minit dah selesai," kongsinya sambil memberitahu, ular itu ialah daripada jenis tedung selar.

Kejadian itu pada masa sama membuatkan orang ramai tertanya-tanya untuk mengelak perkara sama.

Rata-rata warga maya juga meminta saranan untuk mengetahui cara mengenal pasti jika terdapat haiwan reptilia tersebut berada di dalam kereta.

"Maaf ya, nak tanya macam mana kita nak tahu yang ada ular duduk dalam kereta.

"Ada bunyi atau macam mana ya? Tertanya-tanya sangat," soal @n_syaza88.

Membalas pada pertanyaan itu, pengguna akaun @azminredfires berkata, ular jenis tedung mudah untuk dikenal pasti.

"Ular jenis ini biasanya ada bunyi (desir), tak pun kita nampak dia masuk," beritahunya.

Manakala, orang ramai juga menasihatkan agar kerap membuat pemeriksaan terutamanya kenderaan yang tidak digunakan dalam tempoh lama sebelum memulakan perjalanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram