![](https://apicms.majoriti.com.my/uploads/images/2025/02/01/3146370.jpg)
PROSES menaik taraf dan pembinaan tambak anak sungai di Sungai Desa Aman, Kampung Desa Aman, Sungai Buloh, Selangor, sedang giat dijalankan bagi melindungi kawasan tersebut daripada hakisan dan tragedi banjir berulang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan, Pua Pei Ling berkata, kerja-kerja menaik taraf sedang berjalan mengikut garis masa projek ditetapkan.
BACA LAGI: [VIDEO] Lagi kes budak baling mercun dalam lubang pembentung sampai meletup jalan, kereta
BACA LAGI: Pemandu 4WD dikhuatiri lemas, kereta terjunam longkang dalam banjir di Sibu
“Dinding konkrit telah dibina di kedua-dua belah kawasan yang dahulunya hanya ditutup dengan tanah dan tumbuh-tumbuhan liar.
“Adalah penting untuk proses menaik taraf itu dilakukan demi keselamatan dan kesejahteraan penduduk kampung khususnya bagi kediaman yang berada di tebing sungai,” katanya.
Menurut Jabatan Saliran dan Pengairan (JPS) Gombak, dianggarkan terdapat lebih 100 buah rumah di kedua-dua kawasan sungai berkenaan.
Tambahnya, projek naik taraf itu akan menelan kos sebanyak RM500,000.
Fasa satu melibatkan kawasan 200 meter (m) di sepanjang sungai sama, telah siap pada 2023 dengan kos sama.
Kedua-dua projek naik taraf itu adalah di bawah bidang kuasa JPS Gombak, manakala peruntukan untuk menaik taraf sungai adalah daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Minggu lalu, Pei Ling bersama Penolong Jurutera JPS Gombak, Nurul Hezrina Yunus dan Mohd Hanif Mohd Rubai mengadakan lawatan ke Kampung Desa Aman bersama penghulu kampung, Eric Ng Kok Leong serta beberapa penduduk untuk menyemak kemajuan projek tersebut.
“Penduduk kampung di sepanjang jalan ini telah mengalami dua hakisan besar.
“Kini mereka tidak perlu risau tentang hakisan atau banjir dengan adanya tembok konkrit ini,” kata Pei Ling.
Eric berkata, projek itu yang sepatutnya siap pada 28 Januari telah tertangguh selama dua minggu.
Sebaik ia siap dibina, ketinggian tambak baharu itu menurutnya mampu mengawal sebarang limpahan sungai semasa hujan lebat berterusan.
“Penduduk kampung di sepanjang anak sungai berdepan situasi banjir buruk tahun lalu apabila air melimpah ke bahagian belakang rumah,” tambahnya.
Ketika ditanya sama ada bahagian hulu sungai itu juga akan dinaik taraf, Pei Ling menjelaskan ia memerlukan lebih banyak dana untuk dilaksanakan. — The Star/EDWARD RAJENDRA
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram