Sekolah agama kelolaan JAIS mulakan pendidikan STEM berasaskan al-Quran


  • Primer
  • Sabtu, 01 Feb 2025

Pendidikan STEM berasaskan al-Quran akan dimulakan oleh Kerajaan Selangor bermula 2025. — Gambar hiasan

KERAJAAN Selangor akan mula menerapkan kurikulum pendidikan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) berasaskan al-Quran di sekolah agama yang kelolaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 2025.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, inisiatif itu akan dimulakan dengan latihan untuk guru membuat penilaian modul yang sesuai bagi memastikan kejayaan agenda pemerkasaan ilmu berteraskan al-Quran itu.

"Kami menyasarkan untuk memulakan inisiatif di 23 sekolah menengah agama di bawah JAIS tahun ini.

"Kami akan mula dengan melatih guru-guru dan menilai impak dan keberkesanan pendekatan tersebut.

"Jika kami melihat hasil yang positif, kami akan mempertingkatkan program dan mengesyorkan agar guru agama menyepadukan elemen STEM ini ke dalam pengajaran mereka untuk meningkatkan lagi pendidikan STEM untuk pelajar," katanya.

BACA LAGI: [VIDEO] MPV mewah jadi sarang 'sang belit', ramai tertanya cara nak tahu ular 'tumpang' kenderaan

BACA LAGI: Shamsul Atin tumbuk jiran warga emas sampai terlantar di hospital ditahan lepas 4 hari di Kuala Selangor

5833387082523981673

Amirudin mengumumkan perkara itu di Shah Alam pada Sabtu. — The Star

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penutup Festival Seni Al-Quran Antarabangsa Restu 2025 dan melancarkan program STEM berasaskan al-Quran di Shah Alam, Selangor pada Sabtu.

Amirudin berkata, perbincangan lanjut akan diadakan dengan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk mengintegrasikan sukatan pelajaran STEM berasaskan al-Quran ke dalam kurikulum pengajaran sekolah-sekolah.

Ia secara tidak langsung dapat menambah baik program sedia ada di bawah pengurusan kerajaan negeri.

"Di Selangor, kita juga mempunyai lima Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi Selangor (MITS).

"Inisiatif ini selaras dengan pengumuman kita sebelum ini untuk membudayakan Hafiz al-Quran yang juga mahir dalam bidang STEM," katanya.

Majlis tersebut turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Yayasan Restu dan Al-Kauthar Eduqids bagi Projek Wakaf 1 Juta al-Quran untuk mengedarkan al-Quran ke seluruh dunia khususnya kepada kawasan yang memerlukan seperti komuniti minoriti Islam, pusat tahfiz dan institut pendidikan Islam. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram