
SATU siasatan dalaman berhubung dakwaan salah laku yang melibatkan penerbit dan pelakon filem, Datuk Afdlin Shauki dalam kontrak perolehan RM4 juta oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dijangka selesai minggu depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, unit integriti DBKL akan memanggil semua pihak berkaitan termasuk Afdlin bagi melengkapkan siasatan.
BACA LAGI: [VIDEO] Lagi kes budak baling mercun dalam lubang pembentung sampai meletup jalan, kereta
BACA LAGI: Pemandu 4WD dikhuatiri lemas, kereta terjunam longkang dalam banjir di Sibu
“Tidak mengapa jika Adflin mahu menolak dan menafikan dakwaan itu, itu haknya. Bagaimanapun, dari sudut tadbir urus jabatan, khususnya agensi, kita perlu menjalankan siasatan yang diperlukan.
“Siasatan sedang dijalankan dan kami sedang menunggu keputusan. Jika Afdlin tidak bersalah, tidak ada isu,” katanya.
Beliau dalam masa sama tegas menyatakan kementerian tidak akan berkompromi dalam sebarang salah laku atau isu tadbir urus.
“Saya telah mengarahkan DBKL untuk mengambil tindakan segera berhubung salah laku itu. Kami di Wilayah Persekutuan mempromosikan budaya kerja yang harmoni berdasarkan integriti.
"Ia bermakna tadbir urus yang baik dan mengelakkan rasuah, supaya tadbir urus yang baik dapat disediakan," ujarnya.
Terdahulu, DBKL telah memulakan siasatan dalaman terhadap dakwaan salah laku yang melibatkan ahli lembaga pengarah yang dikaitkan dengan pemberian projek bernilai RM4 juta.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif mengesahkan siasatan itu dan bekerjasama rapat dengan unit integriti DBKL.
Dakwaan salah laku berkenaan membabitkan pelanggaran prosedur tadbir urus berhubung perolehan projek pengeluaran bahan kreatif untuk DBKL yang didakwa tidak diberikan melalui tender terbuka.
Bertindak balas atas perkara tersebut, Afdlin menafikan sekeras-kerasnya tuduhan terbabit dan mendakwa isu itu sengaja digunakan untuk mencemarkan nama baiknya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram