
SEORANG lelaki warga Singapura yang menemani isterinya pulang ke kampung halamannya di Malaysia untuk menyambut Tahun Baharu Cina, cedera akibat mempertahankan diri selepas rumah mereka diserang.
Isterinya yang dikenali sebagai Fang, 42, berkata, keluarganya kerap diganggu oleh dua lelaki selama tiga hari ketika musim perayaan itu di rumahnya di Kluang, Johor.
Katanya, individu terbabit bertindak membakar mercun dan menyimbah cat di luar rumah serta memecahkan tingkap dua kereta mereka.
BACA LAGI: Sekolah agama kelolaan JAIS mulakan pendidikan STEM berasaskan al-Quran
BACA LAGI: [VIDEO] MPV mewah jadi sarang 'sang belit', ramai tertanya cara nak tahu ular 'tumpang' kenderaan
[KLIK GAMBAR UNTUK TONTON VIDEO]
Tingkap kereta keluarga tersebut yang dipecahkan dua pelaku pada Jumaat.
Fang berkata, suaminya terpaksa menggunakan kayu untuk menyerang balas ketika kejadian berlaku sehingga cedera di kepala, buku lali dan lengan.
Menurutnya, keluarganya tidak berhutang wang dengan mana-mana pemberi pinjaman malah, penyerang tidak meninggalkan sebarang notis kutipan hutang.
Kata ibu Fang pula, keluarga itu sebenarnya sudah diganggu pada 2023 dan 2024.
Namun, tiada sebarang maklum balas diterima daripada pihak berkuasa walaupun sudah membuat laporan pada waktu itu.
"Sekiranya keluarga kami ada bergaduh dengan sesiapa, kami harap pelaku dapat memberi penjelasan dan kami sanggup menyelesaikan masalah itu.
"Tetapi, jika mereka menyasarkan orang yang salah, kami berharap mereka boleh berhenti mengganggu kami," katanya.
Sementara itu, menerusi temu bual dengan Shin Min Daily News, Fang berkata, keluarganya berjaya menahan seorang daripada pelaku ketika serangan berlaku pada Jumaat dan mendapat tahu bahawa dia telah dibayar RM200 (S$60) untuk mengganggu keluarga mereka.
Susulan itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pihaknya dimaklumkan tentang kejadian pada pukul 5.50 pagi melibatkan seorang lelaki yang diserang dengan parang.
Beliau berkata, pihaknya berjaya menahan seorang lelaki berusia 37 tahun kira-kira pukul 6.10 pagi Jumaat selepas kejadian.
"Sepasukan pegawai dari balai polis Kluang bergegas ke tempat kejadian dan menahan seorang suspek.
"Suspek mempunyai sejarah jenayah dan kesalahan berkaitan dadah, dan didapati positif dadah jenis methamphetamine," katanya pada Sabtu.
Polis bagaimanapun sedang cuba mengesan dua lagi rakan sejenayah.
Suspek juga akan ditahan reman sehingga 3 Februari bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan berhubung kes itu. — The Star/SARAH KOH
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram