Shamsul Atin tumbuk jiran warga emas sampai terlantar di hospital ditahan lepas 4 hari di Kuala Selangor


  • 112
  • Sabtu, 01 Feb 2025

Shamsul Atin berjaya ditahan polis selepas mencederakan seorang wanita warga emas di Kuala Selangor. — Facebook

SEORANG wanita warga emas cedera parah di muka selepas ditumbuk lelaki yang menceroboh rumahnya di Kampung Pasir Tuntong, Bukit Rotan, Kuala Selangor, Selangor pada Rabu.

Menerusi hantaran dimuat naik ahli keluarga mangsa di Facebook Anie Rahani, nenek saudaranya itu kini terlantar di Hospital Tanjong Karang, Kuala Selangor bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Lelaki terbabit juga mencederakan mangsa sehingga menyebabkan kecederaan pada mata kiri dan kanan, mulut serta kepala.

BACA LAGI: [VIDEO] Usaha bawa lari mesin basuh naik motor di Sungai Petani sia-sia, penagih dicekup jiran prihatin masa cuti CNY

BACA LAGI: [VIDEO] Jangan jadi raja jalanan, kisah kaki 'melekat' bumper kereta di Colombia 5 tahun lepas patut menginsafkan

"Mata kiri kanan bengkak, mulut pecah, lidah berjahit, kepala berbalut. Perangai langsung tak ada perikemanusiaan langsung.

"Nenek itu baru saja kehilangan suami tak sampai sebulan lagi dah buat macam tu, gila punya manusia," tulisnya.

Dalam perkembangan terbaharu, polis mengesahkan lelaki dikenali sebagai Shamsul Atin berusia 34 tahun yang diburu selama empat hari itu akhirnya berjaya ditahan pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin dilaporkan berkata, suspek ditangkap anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor dan Balai Polis Kuala Selangor di tepi Jalan Perusahaan, Bandar Baru Kuala Selangor pada pukul 7.45 pagi.

Katanya, semakan mendapati, suspek mempunyai dua rekod jenayah dan tiga rekod dadah.

Tambahnya, suspek dibawa ke IPD Kuala Selangor untuk proses lanjut manakala, motif kejadian masih disiasat.

Sebelum ini, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada pukul 5.50 petang Rabu.

"Siasatan awal mendapati suspek adalah jiran kepada mangsa yang juga wanita warga emas berumur 73 tahun.

"Ketika kejadian, mangsa tinggal seorang diri di rumah. Suspek datang dan masuk melalui pintu rumah yang terbuka.

"Suspek kemudiannya terus menerkam dan menumbuk ibu tunggal itu," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tindakan itu juga membuatkan mangsa bergelut dan menjerit meminta pertolongan sekali gus menyebabkan suspek melarikan diri.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 447/323 Kanun Keseksaan (KK).— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram