
SEORANG lelaki berjaya ditahan selepas bertindak mencuri mesin mencuci pakaian di sebuah rumah dekat Taman Kuala Muda, Sungai Petani, Kedah pada Rabu.
Menerusi video tular di media sosial sejak Khamis, lelaki yang menunggang motosikal itu pada awalnya berhenti di perkarangan taman itu sebelum memecah masuk ke dalam sebuah rumah.
Kejadian juga berlaku pada hari pertama sambutan Tahun Baharu Cina.
BACA LAGI: Jalan hidup kita pilih akhirnya bawa ke tempat memang sesuai dengan jiwa kita — Staf MBPJ
Dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi kira-kira tiga minit, individu terbabit membawa keluar sebuah mesin pencuci besar daripada rumah tersebut.
Tindakan itu sekali gus menyebabkan pagar rumah terlibat rosak dan tercabut.
Dia kemudiannya cuba untuk membawa lari perkakas itu dengan menaiki motosikalnya.
Namun, berdasarkan beberapa gambar yang dikongsikan pengguna media sosial, lelaki terbabit berjaya ditahan penduduk dipercayai jiran tetangga dan diserahkan kepada pihak polis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada pukul 9.20 pagi sebelum anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda tiba di lokasi.
Katanya, suspek dibawa ke IPD Kuala Muda dan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) untuk siasatan lanjut.
Suspek yang juga lelaki tempatan berusia 36 tahun dan beralamat di Kulim.
Hasil semakan mendapati, suspek mempunyai enam rekod jenayah dan tiga kes berkaitan dadah.
Susulan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh rumah kediaman penduduk. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram