![](https://apicms.majoriti.com.my/uploads/images/2025/01/30/3143010.jpg)
CHINA sekali lagi menunjukkan kehebatan dalam teknologi robotik apabila 16 robot humanoid mempersembahkan tarian tradisional sempena Festival Musim Bunga di Beijing.
Persembahan itu bukan sahaja memukau penonton tetapi juga membuktikan kemajuan pesat negara itu dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan automasi.
Robot-robot berkenaan, yang dibangunkan oleh syarikat teknologi Unitree dari Hangzhou tampil dalam jaket merah sempena perayaan.
BACA LAGI: [VIDEO] Iran perkenal dron terkuat diberi nama Gaza, mampu terbang sejauh 1,000km
Mereka bukan sekadar berdiri di pentas, malah menari bersama pasangan manusia dengan gerakan pantas dan tepat mengikut rentak muzik rakyat China.
Video yang tular di media sosial menunjukkan robot-robot itu memutar sapu tangan merah, melemparkannya ke udara dan menangkapnya kembali dengan tepat sehingga mencetuskan sorakan ramai penonton.
Robot humanoid kini menjadi perlumbaan sengit antara syarikat teknologi gergasi.
Pengasas Tesla dan SpaceX, Elon Musk sebelum ini memperkenalkan robot Optimus pada Oktober lepas dan menyatakan ia bakal menjadi produk terbesar dalam industri.
Namun, ramai yang membandingkan pergerakan Optimus yang masih perlahan dengan Unitree H1 yang lincah menari di Beijing.
Antaranya, pengguna media sosial secara sinis berkata, 'sementara robot Elon Musk berjalan macam orang tua lepas pembedahan pinggul, robot China menari macam ayam muda'.
Selain Tesla, syarikat cip terkenal NVIDIA juga turut melabur dalam pembangunan robot humanoid.
China pula sudah lama merancang untuk menghasilkan robot berteknologi tinggi secara besar-besaran menjelang 2025.
Malah, Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat China menyatakan bahawa robot-robot itu akan mengubah dunia. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram