"KADANG kala kita tak sangka, jalan hidup yang kita pilih akhirnya membawa kita ke tempat yang memang sesuai dengan jiwa kita."
Begitulah kata-kata Filzah Zahira Saiful Razi, Penolong Pegawai Tadbir di Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Pada usianya 26 tahun, Filzah sudah merasai pelbagai pengalaman menarik dari menjadi pemimpin pelajar, menceburi bidang pembangunan remaja hingga menguruskan dana untuk komuniti.
Minat Filzah terhadap masyarakat dan pembangunan sosial mendorongnya mengambil jurusan Sains Pembangunan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
"Tetapi, Sains Pembangunan ini ramai tak tahu sebenarnya belajar apa. Tapi bagi saya, ia satu bidang yang bina disiplin.
"Kita belajar ekonomi, pentadbiran, politik, dan pembangunan masyarakat.
"Disebabkan itu jugalah, kerja saya sekarang sangat berkait dengan apa yang saya belajar duhulu," katanya kepada Majoriti.
Filzah yang juga aktif dalam program dianjurkan MBPJ.
Sebelum bekerja di MBPJ, Filzah sempat berkhidmat di sebuah organisasi yang memberi fokus kepada pembangunan remaja.
Di situlah Filzah mula terlibat dalam program motivasi, ceramah kesedaran dan sesi bimbingan untuk remaja yang menghadapi pelbagai cabaran kehidupan.
"Saya pernah jadi penceramah di beberapa sekolah dan masjid. Isu yang paling saya ingat ialah kes seorang pelajar Tingkatan 2.
"Dia datang senyap-senyap selepas ceramah, menangis sambil bercerita bahawa ada rakan sekolahnya sendiri (lelaki) telah menyentuhnya tanpa izin, tetapi takut untuk bersuara dan hanya pendam," kongsinya.
Katanya, perkara itu mengajarnya untuk mengambil tindakan serius dengan merujuk kepada guru kaunseling sekolah.
Ia juga bagi memastikan pelajar itu mendapat sokongan dan perlindungan yang sepatutnya.
"Kadang-kadang, remaja ni bukan tak tahu nak buat apa, tapi mereka takut dan tak ada tempat untuk meluah.
"Sebab itulah program kesedaran sangat penting," tambahnya.
Bertugas dalam bidang pengurusan menjadikan Filzah sebagai seorang yang lebih teliti dalam tugasnya.
Terus berkhidmat untuk komuniti, Filzah berkata, tugasnya yang menguruskan dana dan geran di bawah program Petaling Jaya Sustainability merupakan antara pengalaman berharga buatnya.
Geran Komuniti Untuk Petaling Jaya Mampan (Community Grant For Petaling Jaya Sustainability)
ataupun juga dikenali sebagai PJ SEED sudah diperkenalkan MBPJ sejak 2019.
Ia bertujuan menjemput organisasi di peringkat masyarakat untuk merancang dan melaksanakan projek atau inisiatif yang akan membantu MBPJ meningkatkan prestasi dalam 10 bidang berkaitan yang ditetapkan.
Katanya, tugas itu membuatkan dirinya lebih teliti dalam penyediaan sebarang permohonan khususnya dalam pembinaan kebun komuniti.
"PJS ni lebih kepada pembangunan komuniti.
"Contohnya, kalau ada satu persatuan penduduk nak buat kebun komuniti, mereka boleh mohon dana dari kami.
"Bila uruskan perkara begini, pelbagai kerenah yang saya dapat lihat tetapi tak terlalu pelik.
"Antaranya, ada yang nak buat kebun tetapi tak cukup kriteria diperlukan, tetapi tak ada konflik yang teruk lagi setakat ini," katanya.
Baginya, setiap wakil penduduk yang berminat dengan program itu bijak mengira dan menguruskan terlebih dahulu perbelanjaan atau kos yang diperlukan.
Pengalaman Filzah secara tidak langsung membuktikan bahawa minat dan bakat seseorang boleh membentuk hala tuju karier mereka.
“Saya suka kerja yang melibatkan orang.
“Kalau boleh bantu orang, walaupun sekecil mana pun, saya rasa puas hati,” ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram