[VIDEO] ‘Dah macam GTA’, dua parah kena langgar lari 2 kenderaan berbeza depan kelab ‘goyang’ di Jalan Klang Lama


  • 112
  • Khamis, 30 Jan 2025

Tangkap layar daripada rakaman memaparkan kekecohan di ibu negara pada Rabu malam itu.

TULAR rakaman sebuah insiden dipercayai di Jalan Klang Lama di ibu negara pada Rabu memaparkan beberapa buah kenderaan bertindak melanggar sekumpulan penunggang motosikal.

Berdasarkan video dikongsikan di akaun Instagram ohsem.video, kelihatan sebuah trak pikap dan kereta berwarna kelabu bertindak memandu secara berbahaya dengan tujuan melanggar orang ramai.

Namun, tidak dapat dipastikan punca di sebalik kejadian itu, namun dipercayai akibat salah faham antara kedua-dua pihak melihat kepada jeritan dan kata-kata kesat yang dilontarkan.

BACA LAGI: [VIDEO] JPJ Pahang tampil beri penjelasan video tular anggota bertumbuk, rupanya hanya demo

BACA LAGI: [VIDEO] 'Keluarga patut main peranan', ramai respons video tular mangsa sebelum kejadian dipukul

Difahamkan, timbul perselisihan faham antara kumpulan lelaki terbabit bersama kedua-dua suspek sebelum kejadian.

Pengguna media sosial lain di ruangan komen kemudian tertanya-tanya akan insiden itu dengan seorang pengguna, Shukur Acot mengatakan situasi itu tidak ubah seperti permainan video Grand Theft Auto (GTA).

"Pehh, macam GTA pula mereka berkelakuan. Apa nak jadi ni?" katanya.

Dalam perkembangan terbaru, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood mengesahkan dua individu mengalami kecederaan akibat insiden terbabit.

"Pihak polis menjalankan siasatan sebaik laporan polis diterima dan mendapati pada Rabu, pengadu seorang lelaki warga tempatan berumur 24 tahun melihat dua buah kenderaan jenis Toyota Hilux dan Toyota Vios keluar dari sebuah bangunan tempat letak kereta dan dipandu secara melulu di hadapan sebuah kelab malam di Kuala Lumpur.

"Kenderaan tersebut melanggar sekumpulan lelaki mengakibatkan lebih kurang dua orang mengalami kecederaan dan seorang mangsa dihantar ke hospital dengan menaiki ambulans.

"Kesemua mangsa masih belum membuat laporan polis. Pihak polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan kes masih dalam siasatan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram