
SEORANG pengunjung permainan gelongsor air kaca di i-City, Shah Alam, Selangor berdepan detik cemas apabila satu daripada pelampung secara tiba-tiba terjatuh baru-baru ini.
Menerusi video tular di media sosial, pelampung tersebut jatuh dari gelongsor dan menghempap pengunjung wanita terbabit yang ketika itu berada di lokasi kejadian.
Dalam video sama, pengunjung tersebut dikatakan menangis kerana terkejut dan terpaksa menahan kesakitan selepas kepalanya terkena pelampung besar.
BACA LAGI: Pelajar Malaysia ditemukan dalam keadaan keliru, ibu syukur Nurin Hannani selamat di Tokyo
Rata-rata warga maya turut tidak berpuas hati dan meluahkan rasa berang terhadap pihak pengurusan yang tidak menitikberatkan keselamatan pengunjung.
"Gelongsor memang tak ada keselamatan langsung. Kalau buatnya terkena kepala budak atau orang ramai lagi bahaya," komen @eykien_loffa.
Susulan itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim mengesahkan bahawa tidak menerima sebarang laporan berhubung insiden tersebut.
Pada masa sama, dilaporkan bahawa permainan itu juga masih belum mendapat kelulusan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk beroperasi.
MBSA bagaimanapun sudah mengeluarkan notis supaya ia dihentikan ketika masih dalam tempoh pembinaan, namun arahan tersebut tidak dipatuhi.
Pihaknya juga mengambil tindakan tegas dengan mengeluarkan kompaun terhadap pihak i-City pada 14 November 2024.
Namun, permainan itu diminta untuk berhenti beroperasi serta-merta selepas kejadian itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram