RAW jadi tumpuan pengumpul jam tangan unik, eksklusif di Malaysia


  • Bizz
  • Selasa, 28 Jan 2025

RAW diasaskan oleh Soemantri (kanan) dan Juliana Aloresa (kiri) hampir dua dekad lalu.

DIASASKAN Soemantri Kusumandi dan Juliana Aloresa Chai hampir dua dekad lalu, Red Army Watches (RAW) dikenali sebagai peruncit jam tangan bebas yang menonjolkan keperibadian, kraf tangan dan reka bentuk avant-garde.

Mula beroperasi pada 2008, RAW menjadi tumpuan bagi pengumpul dan peminat jam tangan yang menginginkan keunikan berbanding jenama arus perdana.

Menurut Pengarah Urusan RAW, Juliana Aloresa, pusat beli-belah Tropicana City Mall (kini dikenali sebagai 3 Damansara) adalah lokasi pertama memberi peluang kepada mereka untuk mempamerkan koleksi eksklusif.

BACA LAGI: [VIDEO] Pertama di Malaysia, idea suami isteri kreatif realisasi Airbnb 'kelapa' terapung di Langkawi

BACA LAGI: Tak sanggup anak terus derita ekzema, wanita keturunan Melanau cipta sabun natural, dapat perhatian pelanggan Jepun dan AS

Interview Red Army Watches owners Soemantri and Juliana. — AZLINA ABDULLAH/The Star

Jam tangan jenama Alexander Shorokhoff turut ditawarkan di RAW.

Beliau berkata, pandemik Covid-19 menyaksikan penurunan dari segi jumlah cawangan yang dibuka.

"Sebelum pandemik, kami mempunyai lima cawangan. Namun, akibat pandemik tersebut, beberapa cawangan terpaksa ditutup,” katanya.

Kini RAW masih beroperasi melalui dua cawangan utama di pusat beli-belah 1 Utama, Petaling Jaya, Selangor dan Pavilion KL, Kuala Lumpur.

Mereka menawarkan lebih 20 jenama jam tangan bebas, termasuk dari Perancis, Jepun, Itali, China dan Singapura.

Juliana Aloresa dan Soemantri memulakan perniagaan tersebut setelah menyedari jurang antara peruncit jam tangan mewah dan jenama murah.

Pada permulaan perniagaan, RAW hanya membawa sembilan jenama, terutamanya dari Rusia dan Jerman, dengan fokus pada jam tangan mekanikal.

Kongsi Soemantri pula, salah satu jenama pertama diperkenalkan ialah Sturmanskie dari Rusia, jam tangan pertama dipakai di angkasa lepas oleh angkasawan Soviet Yuri Gagarin pada 1961.

Interview Red Army Watches owners Soemantri and Juliana. — AZLINA ABDULLAH/The Star

Antara koleksi jam tangan ditawarkan di premis RAW.

“Kami sering bertemu secara langsung dengan pengasas jenama ini dan setiap satu daripadanya mempunyai cerita unik.

"Jam tangan yang kami tawarkan bukan sekadar aksesori, tetapi karya seni,” jelasnya.

Cabaran kreativiti

Dalam pada itu, Juliana Aloresa turut memberitahu bahawa RAW sentiasa memanfaatkan kelebihan menjadi jenama kecil dan bebas.

“Kami tidak mempunyai sokongan perniagaan keluarga. Jadi, berusaha lebih keras untuk memastikan kejayaan RAW,” katanya.

Kebebasan itu membolehkan mereka berinovasi dan memberikan pengalaman membeli yang berbeza kepada pelanggan.

Selepas pandemik, RAW mula menerokai platform perniagaan e-dagang. Dalam tempoh dua minggu pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mereka melancarkan kedai dalam talian untuk membolehkan pelanggan membeli dengan lebih mudah.

Namun, Soemantri percaya pengalaman membeli secara fizikal tetap menjadi keutamaan, terutama bagi model berharga tinggi.

“Kami dapati pelanggan yang ingin berbelanja hingga RM15,000 untuk jam tangan lebih cenderung untuk melihat dan mencuba jam itu secara langsung,” katanya.

Interview Red Army Watches owners Soemantri and Juliana. — AZLINA ABDULLAH/The Star

Soemantri percaya pengalaman membeli secara fizikal tetap menjadi keutamaan terutama bagi model berharga tinggi.

RAW terus berkembang dengan membawa model jam tangan mewah dan menjadikan pengalaman pelanggan sebagai keutamaan mereka.

Jenama itu bukan sekadar perniagaan, tetapi sebuah keluarga besar yang terdiri daripada pelanggan setia dan jenama bebas yang terus memperkaya dunia horologi.

“Melihat pelanggan berkembang dari individu yang baru bekerja sehinggalah ada yang sampai membawa anak-anak mereka ke kedai merupakan satu kepuasan tidak ternilai buat kami,” ceritanya lagi. — The Star/RINA AHMAD SAFIUDDIN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram