MALAYSIA mungkin perlu bersedia menghadapi penurunan berterusan dalam jumlah perkahwinan dengan data terkini menunjukkan trend yang membimbangkan.
Statistik daripada Jabatan Perangkaan mendedahkan jumlah perkahwinan telah menurun secara konsisten daripada 207,882 pada 2016 kepada 188,100 pada 2022.
Namun, terdapat lonjakan luar biasa pada 2021, apabila 215,973 perkahwinan direkodkan, berkemungkinan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.
Perkahwinan dan memiliki cahaya mata dianggap pencapaian besar dalam kehidupan sebahagian besar individu.
Pakar demografi Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor, Chai Sen Tyng menyifatkan penurunan tersebut sebagai petanda perubahan demografi di negara ini.
Menurut beliau, penurunan jumlah perkahwinan bukan kerana masyarakat menolak ikatan itu tetapi lebih kepada perubahan pandangan terhadap kehidupan.
Wanita khususnya, semakin berdikari hasil daripada akses kepada pendidikan dan peluang kerjaya.
“Perkahwinan dan mempunyai anak sememangnya dianggap sebagai pencapaian besar dalam hidup.
"Namun, tidak semua individu merasakan ia adalah satu-satunya jalan kehidupan,” jelasnya yang juga pegawai penyelidik kanan di Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia, UPM.
Beliau turut menjelaskan bahawa dalam budaya masyarakat Asia Timur dan patrilokal, wanita kini lebih berani untuk membuat pilihan hidup mereka sendiri, termasuk menangguhkan atau memilih untuk tidak berkahwin.
Tambahnya, penurunan kadar perkahwinan dan kesuburan juga merupakan isyarat kepada lelaki bahawa mereka perlu menyesuaikan diri dengan perubahan dalam dinamik masyarakat.
Trend ini menandakan perlunya penyesuaian dalam pendekatan sosial, ekonomi dan budaya di Malaysia untuk memastikan keseimbangan dalam pembangunan masyarakat pada masa hadapan.
Kos hidup penghalang utama
Sementara itu, Dr Tey Nai Peng daripada Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur berkata, tekanan ekonomi adalah faktor utama yang menyebabkan penurunan kadar perkahwinan di Malaysia.
“Kenaikan kos sara hidup, harga rumah, kos perkahwinan dan perbelanjaan membesarkan anak menjadi halangan besar,” kata Profesor Madya di Jabatan Statistik Gunaan, Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran UM itu.
Menurutnya, kos perkahwinan di Malaysia sering melebihi RM14,000, yakni di luar kemampuan kewangan ramai individu.
Malah, inflasi dan pemulihan ekonomi yang perlahan selepas pandemik Covid-19 turut memburukkan keadaan.
Beliau menjelaskan bahawa seorang individu memerlukan RM2,500 hingga RM3,500 sebulan untuk menjalani kehidupan selesa, tetapi gaji purata bagi mereka yang berumur 25 hingga 29 tahun pada 2019 adalah RM2,315 (purata) dan RM1,858 (median).
“Bagi pasangan berkahwin di Lembah Klang, perbelanjaan bulanan dianggarkan meningkat dari RM4,630 kepada RM5,980 selepas mempunyai seorang anak, menyebabkan peluang untuk menyimpan wang menjadi semakin kecil,” tambahnya.
Gol hidup wanita
Semakin ramai wanita mengutamakan kestabilan kerjaya sebelum memulakan keluarga.
Nai Peng turut menyebut bahawa keutamaan wanita terhadap pendidikan dan kerjaya menyukarkan mereka mencari pasangan hidup berkongsi matlamat hidup sama.
Antara 2000 hingga 2016, peratusan wanita berumur 30 hingga 34 tahun yang tidak pernah berkahwin meningkat dengan ketara di beberapa negara, termasuk Australia (29.4 peratus kepada 38 peratus), China (1.4 peratus kepada 7.3 peratus) dan Mesir (6.1 peratus kepada 8.3 peratus).
“Wanita kini merangkumi lebih daripada 60 peratus graduan pendidikan tinggi di Malaysia dan semakin mencapai kemerdekaan ekonomi.
"Kadar penyertaan tenaga kerja wanita juga meningkat daripada 47 peratus pada 1990-an kepada 55 peratus pada 2020,” katanya.
Beliau menambah, pandangan terhadap perkahwinan juga berubah, dengan semakin ramai yang mengutamakan kestabilan kerjaya dan keselamatan kewangan sebelum memulakan keluarga.
Impak penurunan kadar perkahwinan
Kadar tidak berkahwin menyebabkan kadar kesuburan Malaysia jatuh kepada 1.6 pada 2022.
Jelas Nai Peng lagi, peningkatan usia perkahwinan dan kadar tidak berkahwin telah menyebabkan kadar kesuburan Malaysia jatuh kepada 1.6 pada 2022, jauh di bawah tahap penggantian populasi sebanyak 2.1 anak per wanita.
Beliau menekankan bahawa kerajaan perlu memainkan peranan penting dalam membalikkan trend ini melalui langkah-langkah seperti mengurangkan kos perkahwinan, memperkukuh pendidikan kehidupan berkeluarga, memberi insentif kewangan serta menyediakan sokongan untuk penjagaan anak dan pembesaran anak.
Cabaran masa depan
Jika perkahwinan ditangguhkan berisiko memberi tekanan kepada generasi 'sandwic'.
Dalam pada itu, Profesor Rumaya Juhari yang bertugas di Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga UPM pula berpendapat, trend hidup membujang atau menangguhkan perkahwinan boleh memberi kesan kepada pasaran perumahan, kerana keperluan terhadap rumah bersaiz kecil seperti pangsapuri satu atau dua bilik akan meningkat.
“Jika perkahwinan dan keibubapaan ditangguhkan, ramai yang akan menjadi ibu bapa pada usia lebih tua, di samping perlu menjaga ibu bapa mereka.
"Ini boleh memburukkan lagi tekanan kepada generasi 'sandwic' (individu yang tidak hanya mengurus diri sendiri, tetapi juga orang tua dan anak-anaknya),” bicaranya.
Beliau menambah, walaupun kerajaan boleh memberi insentif kewangan untuk menggalakkan perkahwinan, ia tidak menjamin pasangan tersebut akan mempunyai anak.
Malaysia memerlukan dasar menyeluruh untuk menangani kesan ini dan merancang pengurusan lebih baik bagi memastikan kestabilan sosial dan ekonomi negara. — The Star/DIAYA PFORDTEN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram