[VIDEO] Dari dunia majalah, Min Luna cipta legasi tersendiri di persada fesyen dan pemasaran digital


  • Bizz
  • Sabtu, 25 Jan 2025

Tidak hanya membina nama dalam industri, Min Luna juga memberi inspirasi kepada generasi muda untuk berani menonjolkan kreativiti mereka. — Instagram/minluna

MENITI arus perkembangan dunia fesyen tempatan yang semakin dinamik, nama Min Luna sudah lama bertapak sebagai satu figura penuh inspirasi.

Berjaya membina nama di usia muda, penata gaya berusia 41 tahun itu terus mencuri perhatian dengan gaya dan pendekatannya yang cukup unik.

Tidak hanya membina nama dalam industri tetapi susuk ini juga berterusan memberi inspirasi kepada generasi muda untuk berani menonjolkan kreativiti mereka.

BACA LAGI: [VIDEO] Pertama di Malaysia, idea suami isteri kreatif realisasi Airbnb 'kelapa' terapung di Langkawi

BACA LAGI: Tak sanggup anak terus derita ekzema, wanita keturunan Melanau cipta sabun natural, dapat perhatian pelanggan Jepun dan AS

Corat-coret perjalanan karier kakak kepada aktres popular, Nadiya Nisaa ini cukup menarik.

Bermula daripada seorang penulis kecantikan di sebuah majalah fesyen, Min Luna kini menggalas peranan sebagai pemilik sebuah agensi kreatif, yang kini mencipta legasi di persada fesyen dan pemasaran digital.

“Kerjaya pertama di majalah fesyen membuka mata saya kepada dunia kecantikan dan seni.

"Selepas lima tahun dalam industri penerbitan, saya menyertai Mimpi Kita (jenama fesyen) sebagai pegawai perhubungan awam untuk membantu memberi mereka pendedahan terhadap dunia media.

"Di situlah saya mula mendalami dunia penggayaan fesyen, terutama dengan selebriti dan jenama besar,” kongsinya kepada Majoriti.

Snapinst.app_467355055_18467468668028067_8490569363202370611_n_1080

Min Luna kini mencipta legasi di persada fesyen dan pemasaran digital. — Instagram/minluna

Bekerjasama dengan syarikat korporat dan selebriti seperti Neelofa membuka peluang buat wanita ini memahami bukan sahaja penggayaan tetapi juga membina jenama sendiri.

"Ketika itu Neelofa baru sahaja mengenakan hijab dan beliau memerlukan penata gaya untuk membantunya menyesuaikan penampilan baharu dengan dunia fesyen.

"Dari situ saya mula serius dalam profesion ini dan ia satu pengalaman mengujakan, apatah lagi dapat bekerja bersama syarikat korporat," ujarnya.

Kerap berkelana ke luar negara bagi memenuhi tuntutan kerjaya menyedarkan Min Luna bahawa fesyen membawa erti lebih mendalam berbanding sekadar pakaian.

“Kami sering terbang ke luar negara untuk sesi fotografi. Di situlah saya belajar bahawa fesyen bukan sekadar pakaian, (sebaliknya) ia adalah seni,” tambah Min Luna yang kemudian dipelawa menyertai platform e-dagang fesyen, FashionValet sebagai pengarah kreatif.

Selama kira-kira tiga tahun menabur kepakaran di FashionValet, beliau memperhalusi pemahamannya terhadap aspek perniagaan fesyen, termasuk strategi pemasaran.

Sehinggalah ketika di usia 38 tahun, fashion stylist yang dahulunya dikenali dengan imej ranggi, memutuskan untuk melangkah ke depan dengan menubuhkan Min Luna Creative Agency (MLCA), sebuah agensi kreatif yang kini menjadi tumpuan jenama tempatan dan antarabangsa.

Snapinst.app_449688124_476621501774901_8720935110529671582_n_1080

Wanita ini tidak melihat tudung sebagai penghalang untuk dirinya tampil bergaya. — Instagram/minluna

Legasi di era digital

Berbicara lanjut mengenai MLCA, cerita Min Luna, agensi itu bermula dengan hanya tiga kakitangan yang mahir dalam bidang masing-masing. Tiada pejabat, hanya semangat dan visi besar.

Beroperasi di Kuala Lumpur, agensi itu berfungsi sebagai platform yang menawarkan pelbagai perkhidmatan kreatif termasuk penggayaan selebriti, pengurusan kempen fesyen, penghasilan kandungan visual dan kolaborasi strategik untuk jenama tempatan serta antarabangsa.

Kongsinya, MLCA kini mempunyai beberapa jabatan utama termasuk pemasaran kreatif, perhubungan selebriti dan pengurusan acara.

"Untuk saya sendiri sebagai pengarah kreatif, saya banyak terlibat dalam kempen fesyen, penggambaran, pertunjukan fesyen dan khidmat konsultasi jenama.

"Selepas Covid-19, ramai jenama tidak pasti apa langkah seterusnya. Jadi, saya bantu mereka merangka strategi baharu," tambahnya.

Selain itu, MLCA juga mengendalikan jabatan teknologi baharu, yakni MLCA Tech, hasil kerjasama eksklusif dengan agensi Korea.

Melalui jabatan tersebut, MLCA membawa teknologi terkini seperti teknologi realiti terimbuh (AR) dan teknologi realiti maya (VR) untuk memberikan pengalaman pelanggan yang inovatif kepada jenama-jenama tempatan.

“Ia sangat surreal. Kadang-kadang, saya sendiri terkejut dengan hasil kerja kami. Tetapi semuanya kerana pasukan saya yang luar biasa,” kongsinya yang pernah menata gaya ramai wanita hebat termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza, Lisa Surihani, Neelofa dan Scha Alyahya.

Ujar ikon fesyen itu lagi, mereka menyediakan pengalaman pelanggan yang inovatif dengan teknologi AR dan VR, membuktikan bahawa fesyen dan teknologi juga boleh berganding bahu.

Snapinst.app_469548766_18471345724028067_1487361908257672066_n_1080

Bagi Min Luna, fesyen membawa erti lebih mendalam berbanding sekadar pakaian. — Instagram/minluna

Bertudung bukan halangan

Sebagai seorang wanita berhijab, Min Luna tidak melihat tudung sebagai penghalang untuk dirinya tampil bergaya.

Dengan reputasi sebagai pakar fesyen yang inovatif dan berpengalaman, beliau membuktikan landskap fesyen tempatan juga sudah semakin terbuka kepada kepelbagaian.

“Dulu orang fikir wanita bertudung tak sesuai untuk fesyen, tetapi saya buktikan sebaliknya. Saya rasa ini memberi motivasi kepada pereka dan penata gaya muda untuk percaya mereka juga ada tempat dalam industri ini,” katanya yang mula mengenakan hijab sejak dua tahun lalu, selepas pulang mengerjakan umrah.

Kini, Min Luna terus menjadi pemangkin perubahan, menghubungkan generasi muda dengan warisan fesyen tempatan.

Dari Kuala Lumpur Fashion Week hingga kolaborasi bersama jenama global, Min Luna membuktikan bahawa semangat, kerja keras dan keberanian bermimpi besar boleh membawa sesiapa sahaja jauh melangkaui batasan.

“Perjalanan ini panjang dan penuh cabaran, tetapi saya percaya, selagi berani mencuba dan percaya kepada pasukan kita, kejayaan akan tiba,” tuturnya optimis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram