DUA beradik dari Kampung Sri Jaya Skudai, Johor yang terjejas apabila rumahnya musnah dalam satu kebakaran menerima bantuan persekolahan bagi menghadapi peperiksaan dengan tenang.
Dua mangsa merupakan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Mohamad Akmal Muqri Mohamad Farok, 20, dan Mohamad Lutfi, 18, yang mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Kedua-duanya juga terpaksa menanggung kerugian selepas buku sekolah, pakaian sekolah dan komputer riba musnah dalam kebakaran itu.
BACA LAGI: Permohonan belum didengar Mahkamah Tinggi, perbicaraan kes abai Zayn Rayyan diteruskan 3 Februari
BACA LAGI: [VIDEO] Lupa tarik brek tangan, tukar gear P punca kereta EV bergerak sendiri di Vietnam
Prihatin dengan nasib mereka, pihak Econsave Cash and Carry Sdn Bhd tampil memberi bantuan kepada keluarga mereka.
Mohamad Lutfi yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Uda Utama berkata, bantuan itu mampu menjadi pembakar semangat buatnya.
"Ia dapat mengurangkan kesedihan keluarga saya kerana kami kehilangan segala-galanya dalam kebakaran.
"Kejadian itu menjadi halangan besar buat saya dan abang kerana kami berdua sudah membuat persiapan untuk menduduki peperiksaan," katanya.
Mohamad Akmal pula berkongsi bahawa bantuan itu secara tidak langsung dapat mengembalikan fokus terhadap peperiksaan.
"Persediaan kami mungkin terjejas tetapi tetap berterima kasih atas bantuan itu kerana kami boleh beli pakaian baharu dan keperluan sekolah lain.
"Semoga kami berjaya melakukannya dengan baik dan akan membanggakan ibu bapa kami," katanya.
Sementara itu, Pengurus Econsave Cawangan Taman Teratai, Azian Mohd Yusof berkata, mereka sekeluarga disalurkan sebanyak RM1,500 untuk membeli barangan keperluan termasuk keperluan sekolah.
Beliau berkata, ia menjadi tanggungjawab sosial korporat pasar raya besar itu dalam membantu masyarakat yang memerlukan.
Azian pada masa sama berharap bantuan itu dapat membantu keluarga terbabit membina semula kehidupan mereka. — The Star/MOHD FARHAAN SHAH
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram