[VIDEO] Percaya jalan ALLAH, anak pengasas Madrasah Darul Ansar tepis godaan 'darah muda' semasa remaja


  • Massa
  • Rabu, 29 Jan 2025

Adab dan agama antara elemen yang ditekankan bukan sahaja kepada anak tetapi kesemua pelajar Madrasah Darul Ansar, Terengganu.

PEPATAH ada mengatakan bagaimana acuan, begitulah kuihnya yang merujuk kepada pentingnya peranan ibu bapa dalam membentuk akhlak dan nilai kehidupan anak-anak.

Seperti kuih yang bentuknya bergantung kepada acuan digunakan, begitulah juga dengan sifat manusia yang dibentuk sejak kecil oleh didikan ibu bapa.

Jika acuan itu sempurna, maka hasil kuihnya juga akan cantik dan sempurna.

BACA LAGI: Keluar dari kampung pedalaman, lawatan pelajar madrasah ke KL kikis persepsi sekolah pondok berfikiran ketinggalan zaman

BACA LAGI: Kebun mini guna sistem akuaponik atas bumbung fakulti jadi tempat 'healing' pelajar Universiti Malaya

6109289455132196971

Aisyah bertanggungjawab menjaga lebih 50 penuntut perempuan di madrasah tersebut apabila melakukan aktiviti di luar.

Ia jelas dapat dibuktikan apabila melihat keperibadian Aisyah Sufiyah Hussin yang merupakan Ketua Pelajar Muslimat di Madrasah Darul Ansar, Marang, Terengganu.

Mengenali serba sedikit tentang latar belakang gadis berusia 22 tahun itu, Aisyah ternyata anak kepada Pengasas dan Tuan Guru Madrasah tersebut, Tuan Guru Haji Hussin Draman.

Maka, tidak hairanlah peribadinya begitu sopan, beradab serta tutur katanya yang lemah lembut apabila berbicara.

Namun, siapa sangka Aisyah sebenarnya membesar dalam sebuah keluarga besar dengan 16 orang adik-beradik termasuk dirinya.

Anak ke-14 itu berkata, meskipun begitu, kehidupan mereka sekeluarga sememangnya diterapkan dengan nilai-nilai agama sejak kecil.

Katanya, bapanya yang masih bertugas sebagai guru agama sepenuh masa madrasah itu memainkan peranan besar dalam membentuk keperibadian mereka 16 beradik.

Didikan seawal usia 7 tahun

Menurut Aisyah, bapanya mula mendidik dan mendedahkan anak-anak tentang kepentingan ibadah serta agama seawal usia mereka tujuh tahun.

"Dari kecil lagi ayah dah ajar cara-cara solat yang betul. Memang ayah tekankan bab ibadah itu agar kami tak leka.

"Kalau anak-anak tak solat, ayah akan jadi sangat tegas dan tidak menjadi satu kesusahan atau kepayahan kerana kami sudah biasa dengan disiplin ini," katanya kepada Majoriti.

6109289455132196975

Kesemua pelajar madrasah termasuk Aisyah diterapkan dengan nilai keagamaan dan adab.

Didikan tegas itu, meskipun tampak berat pada awalnya namun akhirnya menjadi kebiasaan dalam rutin harian hidupnya.

Malah, ajaran-ajaran agama yang diterapkan sejak kecil juga memudahkan mereka untuk terus mengamalkannya sehingga meningkat ke usia dewasa.

Pesanan ayah

Selain menekankan ibadah, Aisyah berkata, bapanya juga sering memberi kata-kata dan nasihat yang mendalam.

Antara yang paling diingati adalah larangan mengumpat atau memburukkan orang lain.

"Ayah selalu berpesan untuk menjaga lidah. Jangan suka bercakap buruk tentang orang lain.

"Ayah juga sering tekankan kepentingan ilmu agama. Belajar itu penting, tetapi jangan sesekali tinggalkan ilmu agama. Itu asas kehidupan," katanya.

Pesanan itu sekali gus menjadi panduan hidup Aisyah dan adik-beradiknya sehingga sekarang.

280712380_5466596196698330_2276096357040594690_n

Hussin Draman (duduk, kiri) mendidik 16 orang anaknya untuk lebih mengutamakan agama Islam.

Cabaran zaman remaja

Seperti remaja lain, Aisyah juga pernah melalui fasa 'darah muda' yang ada kalanya membuatkan dirinya memberontak untuk melakukan perkara bebas.

Namun, berkat ajaran dan didikan yang diterapkan bapanya, Aisyah mampu melawan keinginan itu demi menjaga maruah diri dan keluarga.

"Kadang-kadang ada sahaja rasa memberontak. Tetapi hati ini selalu ditenangkan dengan mengingatkan diri tentang perjuangan keluarga," jelasnya.

Menjadi saksi perjuangan ibu dan bapanya membesarkan anak-anak serta membangunkan madrasah itu, Aisyah memasang impian untuk terus meneruskan legasi keluarganya.

Meskipun pernah menyimpan cita-cita untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara, Aisyah memilih untuk kekal di madrasah itu bagi menjaga amanah yang telah dipikul oleh keluarganya.

"Sebagai ketua pelajar, tanggungjawab saya besar. Kadang-kadang, cita-cita untuk ke luar negara terpaksa saya korbankan demi agama dalam kalangan masyarakat kita.

"Insya-ALLAH, saya mahu teruskan legasi ayah. Walaupun ia perlu banyak pengorbanan, saya percaya ini adalah jalan yang terbaik untuk saya," ucapnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram