Permohonan belum didengar Mahkamah Tinggi, perbicaraan kes abai Zayn Rayyan diteruskan 3 Februari


Ibu bapa Zayn Rayyan sebelum ini memfailkan permohonan bagi membatalkan pertuduhan, sekali gus dilepas dan dibebaskan daripada dakwaan mengabaikan kanak-kanak itu pada Khamis.

PERMOHONAN ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matin bagi membatalkan pertuduhan masih belum didengar di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor.

Susulan itu, Hakim Mahkamah Sesyen, Dr Syahliza Warnoh memutuskan untuk meneruskan perbicaraan kes tertuduh yang didakwa mengabaikan kanak-kanak autisme itu bermula 3 hingga 7 Februari nanti.

Memetik laporan Buletin TV3, tarikh perbicaraan itu dijadualkan pada Februari dan Mac.

BACA LAGI: Ibu bapa Zayn Rayyan mohon batal pertuduhan, dibebaskan daripada dakwaan abai anak

BACA LAGI: Representasi ditolak, ibu bapa Zayn Rayyan tetap dibicarakan lepas terima laporan forensik dan 2 CD kes

3132577

Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal di sebuah aliran sungai berhampiran Apartmen Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya, Selangor.

Peguam Haresh Mahadevan yang mewakili Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan Ismanira Abdul Manaf, 30, sebelum ini memohon untuk melapangkan tarikh perbicaraan yang dijadualkan tersebut sementara menunggu pelupusan usul notis di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Berdasarkan dokumen yang diperoleh, tertuduh memohon untuk dilepaskan dan dibebaskan daripada semua pertuduhan yang dikenakan kepada mereka.

Melalui afidavit sokongan difailkan bersama notis usul itu yang diperoleh menerusi pihak pembelaan pula, mereka mendakwa pertuduhan jenayah dikenakan terhadap pasangan itu tidak mendedahkan sebarang kesalahan di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001.

Haresh berkata, pihaknya tidak menemui sebarang butiran tentang kesalahan yang didakwa dan tidak tahu bagaimana untuk mempertahankan diri berdasarkan pertuduhan.

Pihaknya juga tidak dapat memberi arahan kepada peguam bela kerana tidak menemui butiran dalam pertuduhan yang boleh dijawab dan tidak tahu dengan tepat apa yang dituduh pendakwaan terhadap mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram