PERUBAHAN iklim, cabaran politik global dan dinamika pasaran yang berbeza di seluruh dunia telah menyebabkan harga kopi melonjak ke tahap tertinggi, seterusnya meningkatkan kos minuman harian baik kopi biasa mahupun macchiato khas.
Walaupun kenaikan mendadak itu dijangka reda dalam beberapa bulan akan datang, pakar dan pemain industri memberi amaran bahawa ketidakstabilan harga akan kekal sebagai cabaran utama.
Situasi tersebut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengeluar kecil, dengan dua pertiga daripada mereka mengusahakan ladang kurang daripada satu hektar (2.5 ekar).
BACA LAGI: Sampai menteri pun terpikat, status lelaki bukan alasan anak jati Kota Bharu buka bisnes tudung
Kenaikan harga turut dipacu kebimbangan terhadap hasil tuaian yang merosot akibat kemarau di Brazil dan Vietnam.
Harga melambung tinggi
Tahun lalu, harga biji kopi Arabika yang disenaraikan di New York, Amerika Syarikat mencatat lonjakan sebanyak 90 peratus, memecahkan rekod bertahan sejak 1977 dengan mencapai AS$3.48 (RM15.47) setiap paun pada 10 Disember.
Kopi Robusta turut menunjukkan pertumbuhan harga yang serupa, walaupun harganya lebih rendah kerana variasi ini kurang dianggap premium berbanding Arabika.
Kenaikan harga tersebut dipacu oleh kebimbangan terhadap hasil tuaian yang merosot akibat kemarau di Brazil dan Vietnam, yang mana masing-masing merupakan pengeluar terbesar dan kedua terbesar biji kopi dunia.
Permintaan melebihi bekalan selama beberapa tahun turut menjadi faktor utama, selain gelombang pembelian spekulatif yang mendorong kenaikan harga pasaran.
Para pengeluar dan pembekal perlu mencari cara mengimbangi tekanan pasaran dan peningkatan kos.
Cabaran penghantaran global
Penganalisis kopi dari Rabobank, Carlos Mera berkata, gangguan di laluan penghantaran turut menambah tekanan kepada industri kopi.
"Gangguan di Laut Merah menyebabkan penghantaran dari Asia Tenggara ke Eropah mengambil masa lebih lama kerana kapal perlu mengelilingi Afrika dan sering kali menghadapi kelewatan panjang di pelabuhan," katanya.
Di samping itu, pedagang turut memberi perhatian kepada pelaksanaan undang-undang Kesatuan Eropah (EU) yang dirancang untuk melarang import produk yang menyumbang kepada penebangan hutan.
Namun, penguatkuasaan undang-undang tersebut baru-baru ini ditangguhkan sehingga 30 Disember 2025.
Situasi berkenaan terus memberikan cabaran kepada industri kopi global, sementara para pengeluar dan pembekal perlu mencari cara untuk mengimbangi tekanan pasaran dan peningkatan kos. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram