MENGEMBARA bukan sekadar menjelajah ke tempat-tempat baharu, tetapi juga mencipta kenangan unik kekal dalam memori.
Bagi pencinta makanan, pengembaraan sering kali membawa mereka ke restoran tersembunyi atau mencuba hidangan tempatan yang luar biasa.
Namun, bagaimana jika pengalaman itu berlaku di dalam sebuah gua?
Konsep ini mungkin mengingatkan kita pada kehidupan zaman prasejarah ala Flintstone, tetapi ia sebenarnya adalah pengalaman eksklusif ditawarkan di beberapa lokasi terpilih di seluruh dunia.
Menjamu selera di dalam gua memberikan gabungan suasana semula jadi yang magis dengan seni kulinari yang tidak kurang hebatnya.
Berikut adalah beberapa restoran gua yang wajib anda kunjungi untuk mencipta kenangan percutian yang tidak terlupakan:
The Cave By Chef Ryan Clift, Bali, Indonesia
Terletak di Bali, Indonesia, restoran ini berada di dalam gua dengan kedalaman 6.5 meter dianggarkan berusia lebih 25,000 tahun.
Dengan hanya 22 tempat duduk, restoran tersebut menawarkan tujuh atau 10 jenis hidangan direka khas oleh Chef Ryan Clift.
Tempahan awal melalui laman web rasmi adalah wajib dan menu dikemas kini secara berkala setiap tiga bulan.
Ali Barbour’s Cave Restaurant, Kenya
Bertempat di gua karang berusia lebih 120,000 tahun di Pantai Diani, Kenya, restoran itu menawarkan pengalaman makan malam yang eksklusif.
Ciri unik restoran adalah siling terbuka semula jadi membolehkan pelanggan menikmati pemandangan malam berbintang.
Hidangan khas seperti Swahili Kukupaka menjadi pilihan dan tempahan boleh dibuat melalui laman web rasmi.
The Secret Cave at Raffles Bali, Indonesia
The Secret Cave hanya menawarkan satu meja setiap malam untuk makan malam romantik.
Untuk pengalaman paling peribadi, The Secret Cave di Raffles Bali hanya menawarkan satu meja setiap malam untuk makan malam romantik.
Tempahan dibuka kepada tetamu resort sahaja dan gua berkenaan turut digunakan untuk sesi meditasi apabila tidak dijadikan ruang makan.
Caves of Hella, Iceland
Pelanggan dapat menikmati menu mewah tiga jenis hidangan termasuk lamb shank dan pencuci mulut skyr.
Di pekan kecil Hella, Iceland, gua batu pasir purba menjadi lokasi Viking Feast oleh Hotel Ranga.
Pelanggan dapat menikmati menu mewah tiga jenis hidangan termasuk lamb shank dan pencuci mulut skyr.
Tempahan untuk makan malam eksklusif ini perlu dibuat sekurang-kurangnya seminggu lebih awal.
La Gruta, Mexico
Dengan kapasiti 700 tempat duduk, La Gruta di San Juan Teotihuacan adalah restoran gua terbesar dalam senarai ini.
Dibuka sejak 1906, restoran tersebut menawarkan hidangan eksotik seperti belalang dan telur semut, selain persembahan tarian rakyat Mexico setiap hujung minggu.
Jeff’s Cellar, Malaysia
Restoran ini terkenal dengan pencahayaan romantik.
Malaysia turut mempunyai restoran gua bertaraf dunia, iaitu Jeff’s Cellar di Ipoh, Perak.
Terletak di dalam gua batu kapur berusia 260 juta tahun, restoran ini terkenal dengan pencahayaan romantik dan menu mewahnya.
Tempahan awal adalah wajib dan kod pakaian kasual kemas dikenakan kepada pelanggan. — The Star/FLOREY D. MIKIL
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram