[VIDEO] Los Angeles terbakar kali ke-2, lebih 31,000 penduduk dan banduan diarah berpindah


  • Benua
  • Khamis, 23 Jan 2025

Kebakaran berhampiran Tasik Castaic di daerah utara Los Angeles tersebut mula tercetus pada pukul 10.53 pagi. — Agensi

KIRA-KIRA 31,000 penduduk diarahkan meninggalkan kawasan utara Los Angeles, Amerika Syarikat pada Rabu selepas satu kebakaran hutan baharu telah merebak dengan pantas.

Kebakaran Hughes telah membakar seluas kira-kira 10,176 ekar namun berjaya dikawal sebanyak 14 peratus dan tiada kerosakan struktur yang dilaporkan.

Ketua Bomba Daerah Los Angeles, Anthony Marrone berkata, kebakaran berhampiran Tasik Castaic di daerah utara Los Angeles tersebut mula tercetus pada pukul 10.53 pagi.

BACA LAGI: [VIDEO] Kena buli di tempat kerja dan dipulau penduduk punca 9 rumah dibakar di Baling

BACA LAGI: Tiada unsur buli, layanan buruk dalam kes kematian pakar perubatan patologi di Hospital Lahad Datu

"Arahan pemindahan dikeluarkan kepada 31,000 orang di sekitar tasik, yang terletak kira-kira 56 kilometer di utara Los Angeles dan berhampiran dengan bandar Santa Clarita.

"Selain itu, kira-kira 23,000 penduduk lagi berada di bawah amaran pemindahan.

"Penduduk dalam zon amaran ini disarankan untuk bersedia meninggalkan kawasan sekiranya diarahkan,” katanya ketika sidang media awal pagi Rabu.

Kebakaran itu dibawa oleh angin kering Santa Ana yang kuat, membawa kepulan asap tebal dan bara api berbahaya yang menimbulkan kebimbangan bahawa ia boleh merebak lebih jauh.

Insiden itu berlaku hanya beberapa minggu selepas dua kebakaran besar, iaitu Kebakaran Eaton dan Palisades yang mengorbankan sekurang-kurangnya 27 nyawa dan memusnahkan ribuan rumah di kawasan Los Angeles.

Anthony turut menggambarkan kebakaran itu sebagai salah satu bencana terburuk dalam sejarah Los Angeles.

Walaupun angin pada Rabu tidak sekuat yang melanda semasa kebakaran sebelumnya pada 7 Januari, keadaan itu masih menyebabkan cabaran besar.

Bagaimanapun, pihak bomba berjaya menggunakan pesawat untuk menjatuhkan puluhan ribu gelen bahan tahan api bagi menghalang penyebaran api pada kali ini, jelas Marrone.

Lebuhraya Antara Negeri 5, yang merupakan laluan penting melalui kawasan pergunungan berhampiran Tasik Castaic, sempat ditutup akibat kebakaran tetapi kemudian dibuka semula di kedua-dua arah.

Walau bagaimanapun, beberapa laluan keluar termasuk Parker Road dan Lake Hughes Road masih ditutup.

Dalam perkembangan berkaitan, Kesatuan Kebebasan Awam Amerika (ACLU) California Selatan turut menyeru pemindahan segera 4,700 banduan dari empat fasiliti penjara berhampiran tasik yang berada dalam zon amaran pemindahan.

Seorang jurucakap jabatan sheriff mengesahkan bahawa 476 banduan dari salah satu fasiliti telah dipindahkan ke penjara lain.

WhatsApp Image 2025-01-23 at 17.38.37

Pasukan dari Jabatan Bomba Daerah Los Angeles dan Hutan Negara Angeles berusaha memadamkan kebakaran itu dari darat. — Agensi

Kebakaran ini berlaku di tengah-tengah angin kencang dan cuaca kering yang meningkatkan risiko kebakaran.

Pakar turut mengaitkan perubahan iklim dengan peningkatan kejadian kebakaran besar seperti ini, yang mana keadaan cuaca yang ekstrem menjadi lebih kerap dan teruk.

Helikopter dan pesawat berada di lokasi untuk menyemburkan air dan bahan pemadam api ke atas kebakaran.

Armada itu termasuk dua pesawat Super Scooper, kapal amfibia besar yang boleh membawa ratusan galon air.

Pasukan dari Jabatan Bomba Daerah Los Angeles dan Hutan Negara Angeles juga sedang berusaha memadamkan kebakaran itu dari darat.

Brent Pascua dari Cal Fire berkata keadaan semasa telah menjadikan situasi ini sangat berbahaya.

“Kami sedang berhadapan dengan angin kencang, kelembapan rendah, dan tumbuh-tumbuhan kering yang sudah lama tidak menerima hujan.

Imej daripada NBC Los Angeles menunjukkan kepulan asap besar ke udara dan api yang membakar sepanjang garis bukit.

Beberapa penduduk yang enggan meninggalkan kediaman mereka dilihat menyiram air ke rumah masing-masing dan menutup lubang pengudaraan untuk menghalang bara api. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram