[VIDEO] Tiada unsur buli, layanan buruk dalam kes kematian pakar perubatan patologi di Hospital Lahad Datu


  • 112
  • Rabu, 22 Jan 2025

Siasatan mengenai kematian Dr Tien Yaa sudah dijalankan selama tiga bulan.

TIADA unsur buli atau layanan buruk dikesan dalam kes kematian pakar perubatan patologi di Hospital Lahad Datu, Sabah, Dr Tay Tien Yaa pada Ogos tahun lalu.

Pengerusi jawatankuasa khas bebas, Tan Sri Borhan Dollah, yang juga bekas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam mendedahkan hasil siasatan yang dijalankan selama tiga bulan pada Rabu.

Menurut Borhan, kesimpulan dibuat berdasarkan empat isu yang dibangkitkan dalam aduan oleh dua adik-beradik mendiang.

BACA LAGI: Kementerian Kesihatan siasat kematian Ketua Unit Patologi Kimia didakwa bunuh diri kerana dibuli di Hospital Lahad Datu

BACA LAGI: [VIDEO] Siasatlah kalau SPRM nak siasat — Dr Dzulkefly Ahmad

"Siasatan menyentuh aspek beban kerja yang mungkin di luar skop tugas mendiang, dinamik kerja bersama rakan sekerja, unsur buli oleh pihak atasan dan hasrat Dr Tien Yaa untuk dipindahkan ke Semenanjung berbanding Sabah.

“(Terdapat) dakwaan bahawa ketua jabatan tidak menjalankan tanggungjawab sebagai pemimpin. Berdasarkan kenyataan (dalam aduan), ketua jabatan melayani mendiang dengan buruk di tempat kerja selain ditambah dengan beban kerja,” katanya pada sidang media di Kementerian Kesihatan (KKM) pada Rabu.

Ujar Borhan, berdasarkan siasatan, perkara itu tidak timbul kerana hubungan kerja antara mendiang dan ketua jabatan adalah profesional.

Borhan turut menjelaskan bahawa beban kerja Dr Tien Yaa adalah dalam skop tugasnya dan tiada rekod permohonan untuk dipindahkan ke Semenanjung.

“Mereka turut berkomunikasi dalam kumpulan sembang. Kami dapat menyimpulkan bahawa isu layanan buruk dan buli terhadap doktor berkenaan tidak wujud.

"Malah, mereka bekerjasama dengan baik sebagai satu pasukan dan sentiasa berhubung,” jelasnya sambil menyatakan temu bual dengan kakitangan lain tidak menunjukkan sebarang tanda layanan buruk.

Dalam siasatan itu, sebanyak 19 saksi termasuk ahli keluarga dan kakitangan hospital telah ditemu bual.

Pasukan jawatankuasa khas bebas turut melawat rumah sewa mendiang untuk mendapatkan gambaran menyeluruh.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, keluarga mendiang telah dimaklumkan mengenai hasil siasatan tersebut.

“Kami memahami beban emosi yang mereka tanggung apabila hasil siasatan didedahkan. Saya memahami betapa sukarnya bagi keluarga untuk menerima dapatan ini,” katanya sambil menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Dr Tien Yaa.

Dr Dzulkefly turut mengakui bahawa mendiang mungkin menghadapi tekanan kerja tinggi akibat kekangan sumber tenaga kerja di hospital.

Beliau berjanji untuk mengambil langkah memperbaiki keadaan tersebut dan menegaskan tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan buli di kementeriannya.

dzul

Dr Dzulkefly turut mengakui bahawa mendiang mungkin menghadapi tekanan kerja tinggi akibat kekangan sumber tenaga kerja di hospital.

Untuk rekod, Dr Tien Yaa ditemui meninggal dunia di rumah sewanya pada 29 Ogos lalu, selepas terdapat dakwaan buli di tempat kerja.

Beliau merupakan Ketua Unit Patologi Kimia di Hospital Lahad Datu dan tinggal bersendirian di rumah sewanya.

Pada 1 Oktober, abang mendiang, Tay Yong Shen, 31, mendakwa adiknya tidak menunjukkan tanda-tanda kemurungan atau niat untuk menamatkan nyawanya.

Yong Shen turut mendedahkan bahawa keluarga menemui bukti dalam perbualan WhatsApp mendiang mengenai beban kerja dan cara dia dilayan.

Pasukan petugas khas ini dianggotai oleh bekas Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Profedor Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir; bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr Azman Abu Bakar; bekas Penasihat Undang-Undang Kementerian Kesihatan, Datuk Mohamad Fazin Mahmud; Pakar Perunding Kanan Pusat Perubatan Universiti Malaya, Profesor Dr Looi Lai Meng dan Pakar Psikiatri Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr Chan Lai Fong. — The Star/RAGANANTHINI VETHASALAM

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram