[VIDEO] Kena buli di tempat kerja dan dipulau penduduk punca 9 rumah dibakar di Baling


  • 112
  • Rabu, 22 Jan 2025

Polis percaya disebabkan perasaan dendam, suspek (gambar kecil) bertindak membakar sembilan rumah di Kupang, Baling.

DENDAM akibat dibuli di tempat kerja dan dipulau penduduk kampung disyaki menjadi punca seorang lelaki bertindak membakar sembilan buah rumah di Kupang dekat Baling, Kedah sejak pertengahan bulan lalu hingga awal bulan ini.

Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh, suspek berusia 23 tahun yang juga penganggur dan penduduk Kupang ditahan pada pukul 12.30 tengah malam, Isnin lalu.

"Kesemua sembilan kes khianat yang dilakukan suspek berpunca daripada dendam kerana sering dibuli di tempat kerja sebelum ini,” katanya pada Rabu memetik laporan Kosmo!.

BACA LAGI: [VIDEO] Berang isteri tak dibenarkan cuti, suami 'ambush' pengurus pasar raya dengan penyodok di Brazil

BACA LAGI: [VIDEO] 'Doa tembus ke langit', isteri sebak suami rentung ketika kononnya 'outstation' ke Surabaya

Pada masa sama, suspek juga dipulaukan penduduk setempat dengan sebahagian mangsa dikenali pemuda tersebut.

Tambah beliau lagi, suspek sebelum ini bekerja di sebuah kilang getah dan berhenti kira-kira tiga bulan sebelum kebakaran pertama berlaku.

"Polis percaya disebabkan perasaan dendam, dia bertindak membakar sembilan rumah dengan kerugian tertinggi sebanyak RM300,000," ujarnya.

Modus operandi suspek adalah mencurahkan petrol ke atas motosikal lalu membakarnya sebelum merebak ke rumah penduduk.

Kebakaran sembilan rumah termasuk dua kenderaan dan 18 motosikal melibatkan kerugian berjumlah RM770,000.

Suspek ditahan reman sehingga Sabtu ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram